Lantik 3 ketua kampung wakili tiga parti di Perak, bukti kerajaan negeri gagal

Oleh KIM SYAZIE

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Larut melihat pelantikan tiga ketua kampung yang mewakili tiga buah parti merupakan satu tindakan paling gagal bagi sebuah kerajaan negeri.

Ketuanya, Muhamad Aiman Aizuddin Md Husin berkata, kegagalan melantik satu ketua kampung sahaja di setiap kawasan membuktikan kerajaan negeri kini tidak sepakat dalam membuat keputusan.

“Pada peringkat awal kami jangkakan pelantikan tiga ketua kampung bertujuan menyaingi prestasi MPKK yang sememangnya dipuji ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang lalu.

“Namun begitu sebaliknya berlaku apabila ada JPKK yang diketepikan atas alasan Adun kawasan mewakili parti beliau hanya berurusan dengan JPKK daripada parti mereka sahaja sehinggakan ada diantara JPKK yang dilantik memilih meletakkan jawatan kerana tidak dipedulikan.

“Lebih teruk lagi apabila hancurnya Muafakat Nasional terdapat antara JPKK Pas dan Umno saling kutuk mengutuk antara satu sama lain dan sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan akan mengakibatkan perpecahan dikalangan masyarakat sepertimana yang pernah wujud sebelum ini, ” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sejajar dengan itu ujarnya, AMK Larut berharap kerajaan negeri Perak dapat menyelesaikan isu ini dengan satu wakil sahaja disetiap kampung bagi memudahkan orang ramai berurusan supaya tidak lagi dilakukan seperti bola yang dilambung ke sana sini ekoran perbezaan ideologi dengan JPKK lantikan politik.