Malaysia Dateline

Lantik 5 ADUN tambahan kos perbelanjaan cecah RM3 juta setahun, kata ADUN Ketari

Langkah kerajaan Pahang meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tambahan mengundang implikasi kepada kos perbelanjaan tahunan kerajaan negeri, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman.

Katanya, jika diambil kira elaun ADUN sahaja adalah RM800,000 setahun dan apabila ditambah dengan peruntukan yang diterima oleh ADUN Kerajaan ketika ini akan menelan belanja berjumlah lebih RM3 juta setahun.

“Saya menolak pindaan ini dan mempersoalkan rasional Kerajaan Negeri Pahang untuk melakukan pindaan ini kerana Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh BN dan MN adalah jelas sangat kukuh.

“Untuk beberapa PRU yang akan datang juga Kerajaan Negeri Pahang akan kekal kukuh terutamanya dengan kerjasama Muafakat Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah beliau turut membidas tambahan perbelanjaan seperti ini adakah wajar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.

“Ingin saya nyatakan, apabila saya meminta peruntukan ADUN Pembangkang dinaikkan sebanyak RM20,000 kepada RM50,000, ini telah mendapat tentangan pihak Kerajaan.

“Sedangkan tambahan RM20,000 setahun ini hanyalah sekitar RM1,700 setahun dan ini memang untuk kegunaan dan kebajikan rakyat Negeri Pahang sendiri.

“Jumlah tambahan RM20,000 ribu setahun bagi 9 orang ADUN Pembangkang hanyalah RM180,000.

“Ini telah ditentang, namun lantikan ADUN yang akan menelan belanja tambahan sekitar RM3 juta pula diluluskan.

“Sedia maklum bahawa ADUN lantikan ini nanti kawasan dan rakyat yang perlu mereka wakili, jaga dan berikan perkhidmatan,” katanya.

Kerajaan Negeri menyatakan bahawa ADUN lantikan ini akan dilantik dalam kalangan minoriti.

Namun katanya, tiada klausa yang menyebut bahawa ADUN lantikan ini akan dilantik dalam kalangan kumpulan minoriti rakyat di dalam pindaan enakmen tersebut seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Keanggotaan Dewan Negara yang melantik wakil-wakil mereka.

“Adalah mengecewakan jika pindaan ini hanya akan digunakan sebagai ganjaran politik kepada mana-mana pihak dan tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat Negeri Pahang, malah merugikan,” tegas beliau.

Hari ini Kerajaan Negeri Pahang meluluskan pindaan terhadap Enakmen Undang-Undamg Tubuh Kerajaan Pahang untuk membenarkan pihak Kerajaan melantik 5 ADUN tambahan.

Usul tersebut dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan diluluskan dengan suara majoriti tanpa kehadiran pembangkang, apabila tujuh Adun DAP dan seorang dari PKR bertindak keluar dewan sebagai tanda bantahan.