Malaysia Dateline

Lantik Aiman Athirah Ketua Wanita PH satu pengiktirafan Majlis Presiden

Pelantikan Aiman Athirah Al Jundi yang secara rasminya dipilih sebagai Ketua Wanita Pakatan Harapan, menggambarkan kepercayaan dan pengiktirafan Majlis Presiden terhadap kepimpinan wanita AMANAH.

Timbalan Ketua AWAN, Nor Hayati Bachok berkata, pengalaman politik Aiman Athirah selama lebih 30 tahun dan rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara, mampu memimpin Wanita PH untuk terus memperkukuhkan lagi peranan mereka.

“Sekaligus, dapat memperkasakan struktur organisasi Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan dengan semangat hormat dan kerjasama ikhlas yang erat di semua peringkat.

“AWAN komited untuk membantu Ketua Wanita PH khususnya dan Pakatan Harapan sebagai satu pasukan bagi menggembleng seluruh kekuatan jentera wanita parti-parti gabungan PH dalam memobilisasi gerak kerja menuju PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Untuk rekod, Aiman Athirah merupakan Ketua Wanita Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN).