Malaysia Dateline

Lantik Azalina Penasihat Khas PM cubaan hadkan peranan beliau

Pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri dilihat cubaan untuk menghadkan peranan dan kemampuan Ahli Parlimen Pengerang itu.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Aiman Athirah Sabu berkata, Azalina layak diberi tanggungjawab sebagai seorang menteri Kabinet sesuai dengan keupayaan dan rekod beliau.

“Malah cadangan-cadangan konstruktif beliau dalam agenda reformasi dan transformasi undang-undang, misalnya cadangan penggubalan Akta Anti Lompat Parti, adalah selari dengan semangat Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Pentadbiran dan Kestabilan Politik yang telah dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021,” katanya.

Ketua Wanita Pakatan Harapan Malaysia itu juga berkata, pelantikan Azalina sebagai Penasihat Khas tanpa kuasa eksekutif kabinet ini, selain merupakan suatu pertindanan dengan tugas sedia ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Tambah beliau, ia juga seolah-olah satu usaha terancang untuk mengehadkan peranan dan sumbangannya semata-mata sebagai seorang penasihat yang tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk negara.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak pelantikan dalam kalangan ahli politik yang dibuat Datuk Seri Ismail Sabri mirip kepada amalan “scheme of things” yang telah dimulakan oleh Kerajaan PN dan malangnya masih terus diamalkan oleh kerajaan pimpinan Umno pada hari ini.

Athirah berkata ketokohan Datuk Seri Azalina dalam agenda pemerkasaan undang-undang dan hak asasi manusia sebagaimana pernah dibuktikannya melalui usaha konsisten mengangkat undang-undang seperti Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 serta prestasi beliau sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, di samping kecenderungan pandangan beliau tentang reformasi institusi yang merupakan suatu pendirian yang sangat kita tunggu-tunggu datang daripada seorang Ahli Parlimen Umno.

“Atas semangat MoU Transformasi Pentadbiran dan Kestabilan Politik, AWAN bersama-sama Wanita Harapan Malaysia akan mengadakan pertemuan serta libat urus dengan Datuk Seri Azalina terutamanya dalam penggubalan serta pelaksanaan undang-undang kritikal berkaitan pengupayaan dan perlindungan wanita, kanak-kanak dan institusi keluarga, lebih-lebih lagi terkait cadangan kerajaan sendiri menerusi RMK12 untuk melaksanakan rangka kerja pemerkasaan gender serta memperkukuhkan undang-undang sivil dan syariah bagi melindungi wanita agar keberhasilan objektif pelaksanaannya tercapai,” kata beliau.