Lantik Dzulkifli terajui SPRM  disengajakan demi keselesaan Najib

Lantik Dzulkifli terajui SPRM disengajakan demi keselesaan Najib

Keputusan kerajaan melantik Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu  mengecewakan rakyat  yang mengharapkan pelantikan itu daripada kalangan anggota kanan badan itu sendiri, dakwa Timbalan Presisden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau  berkata, keputusan pelantikan Dzulkifli adalah suatu tindakan yang berunsur peribadi bukan profesionalisma agensi awam kerajaan itu.

” Ini kerana telah menjadi rahsia umum sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa bahawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib, sangat besar kesannya kepada integriti pentadbiran negara.

“Saya merasakan pelantikan “orang luar” untuk menerajui SPRM ini adalah memang disengajakan demi memastikan bahawa Najib berada dalam keadaan selesa daripada semua tuduhan yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia hari ini, ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Salahuddin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Khas SPRM juga memberitahu sebelum pelantikan Dzulkifli diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, beliau pernah dijemput dalam satu majlis makan malam oleh Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed baru-baru ini.

Ujarnya, antara tokoh yang hadir termasuklah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Gabenor Bank Negara Tan Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga bekas Yang DiPertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

“Dalam ucapan malam itu jelas hampir semua tokoh-tokoh ini memberi pandangan bahawa jawatan ketua SPRM itu seharusnya diisi oleh anggota kanan suruhanjaya itu sendiri yang selama ini telah membuktikan komitmen bersungguh-sungguh ke arah membanteras rasuah khususnya dilakukan oleh mereka yang berprofil tinggi.

“Apa yang jelas, tindakan melantik Dzulkifli ini menunjukkan sikap kerajaan Najib yang tidak menghargai pasukan SPRM yang telah dibina oleh Abu Kasim yang telah terbukti banyak membuat perubahan dalam urus tadbir SPRM,” tegasnya.

Dzulkifli telah memulakan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 1 Ogos lalu.

COMMENTS

Wordpress (0)