Malaysia Dateline

Lantik jurucakap khas vaksin Covid-19

Kerajaan dicadang untuk melantik seorang jurucakap khas bagi menjelaskan informasi penting berkenaan vaksin Covid-19, mengambil kira cabaran utama dalam meyakinkan rakyat Malaysia tentang keberkesanan vaksin tersebut.

LIM LIP ENG

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, jika dilihat keadaan semasa, tidak banyak informasi berkenaan vaksin disampaikan kepada rakyat umum.

Malah katanya, proses penerimaan vaksin secara menyeluruh termasuk jenis vaksin, bilangan dos, waktu penerimaan, senarai keutamaan, dan beberapa perkara lagi perlu diterangkan dengan baik supaya masyarakat dapat membina kepercayaan mereka terhadap vaksin ini.

“Apabila terlalu ramai individu seperti menteri-menteri berkata perihal isu yang sama, sudah pasti akan timbul kekeliruan.

“Justeru, pelantikan jurucakap khas ini akan memastikan kesemua informasi dapat disampaikan dengan baik dan teratur tanpa sebarang percanggahan. Semestinya, lebih ramai orang akan percaya dan yakin terhadap keberkesanan vaksin Covid-19.

“Belajarlah dari kesilapan dahulu. Sesungguhnya koordinasi dalam menyampaikan maklumat itu penting bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lip Eng berkata, walaupun program vaksinasi Covid-19 dalam negara sudah pun bermula, namun informasi penting berkaitan vaksin Covid-19 perlu dijelaskan kepada rakyat dengan sebaik-baiknya.