Malaysia Dateline

Lantik lagi penasihat khas, Ismail tidak hirau Laporan Ketua Audit Negara

Selepas melantik Penasihat Agama, kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dimaklumkan bakal melantik seorang lagi Penasihat Khas Perdana Menteri.

“Tak cukup lagi dengan melantik puluhan menteri Kabinet terbesar dalam sejarah negara?” soal Ahli Parlimen Johor Akmal Nasir.

Katanya, tindakan Ismail dilihat tidak mengendahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai keparahan pengurusan kewangan kerajaan.

Beliau berkata, data menunjukkan kerajaan membazirkan sebanyak RM620.07 juta pada tahun 2020, namun ia tidak sedikit pun berjaya mengunci nafsu serakah Ismail Sabri untuk terus berbelanja mewah dengan menambah bilangan penasihatnya.

Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas, Abdul Latiff Ahmad melalui jawapan bertulis Parlimen semalam, setiap pejabat penasihat perdana menteri yang diwujudkan akan menelan belanja sebanyak RM50,000 sebulan termasuk kos pembayaran gaji kakitangan mereka.

Pelantikan penasihat khas itu bertanggungjawab menasihati perdana menteri dalam bidang kesihatan dan akan dilantik dalam masa terdekat.

“Maka, pelantikan Jamil Khir selaku Penasihat Agama Perdana Menteri, akan menambahkan lagi senarai koleksi penasihat Ismail Sabri selepas pelantikan penasihat kesihatan serta penasihat undang-undang dan hak asasi manusia,” kata beliau.

Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan apakah pelantikan Penasihat Agama sangat diperlukan ketika mana ‘Keluarga Malaysia’ hari ini sengsara dengan kenaikan harga barang yang melampau, sedangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) sudah pun ada.

“Ketika rakyat cuba bangkit selepas krisis pandemik Covid-19, Perdana Menteri sepatutnya fokus kepada menyelesaikan masalah kenaikan harga barang keperluan asas yang membebankan rakyat bukannya melantik penasihat agama,” kata beliau.

Untuk rekod, Jamil Khir merupakan bekas Menteri yang terpalit dengan skandal pecah amanah melibatkan wang agensi YaPEIM sewaktu ketika dahulu.

Sudah pasti pelantikan Jamil Khir akan menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan rakyat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia)