Malaysia Dateline

Lantik Mahiaddin, adakah Ismail tidak yakin dengan menteri-menterinya?

Pelantikan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menimbulkan persoalan dari banyak pihak kerana bekas perdana menteri itu berundur apabila ternyata gagal dalam menangani pandemik COVDI-19.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata sejauhmanakah Mahiaddin bersedia memberi saranan kepada Ismail Sabri untuk membatalkan atau menambahbaik mana-mana dasar pengurusan pandemik yang digubal semasa Mahiaddin menjadi PM tetapi tidak berkesan dalam menangani pandemik.

“Adakah bukan akan ada kecenderungan mantan PM akan cuba mempertahankan legasinya dan bukan menilainya secara objektif?

“Mengapa perlu Mahiaddin diberi tempat di dalam kerajaan Ismail Sabri melainkan tujuan survival politik Ismail semata-mata?

“Sampai bila rakyat dan negara perlu menjadi korban kepentingan politik?”soalnya lagi.

Beliau berkata, keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melantik Mahiaddin sebagai Pengerusi MPN amat mengecewakan.

Menurut Saifuddinn, Mahiaddin ketika memegang tampuk pemerintahan negara telah gagal menguruskan respon negara dalam wabak Covid-19 sama ada dari segi kesihatan, eknomi mahupun pendidikan bahkan Mahiaddin yang bertanggungjawab atas penderitaan rakyat ketika ini.

“Selain itu, beliau juga bertanggungjawab melaksanakan Darurat, kononnya dengan tujuan memerangi Covid, tetapi wabak Covid menjadi lebih serius di akhir Darurat.

“Pengakhiran Darurat pula dibuat tanpa perbahasan di Parlimen sehingga pihak Istana Negara sendiri menegur tindakan Kerajaan Mahiaddin mengelirukan Parlimen – dan ini membawa kepada kejatuhan beliau,”ujarnya lagi.

Justeru, beliau percaya pelantikan Mahiaddin sebagai Pengerusi MPN menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar, kerana Mahiaddin masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu.

“Adakah Ismail tidak yakin dengan Menteri-Menterinya,” tambahnya.

Mahiaddin dilantik atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan beliau untuk menerajui strategi pemulihan negara.

Perkara itu  dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Datuk Mohd Zuki Ali berikutan persetujuan Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu.