Malaysia Dateline

Lantik MP dalam GLC: ‘Cakaplah nak habiskan duit rakyat’

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin menyelar dalih seorang pemimpin Pas yang mempertahan keputusan kerajaan melantik Ahli Parlimen sebagai pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berpendapat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki tidak perlu berdolak-dalih termasuk memberi alasan pelantikan tersebut berperanan sebagai wakil rakyat yang ‘memantau’ perjalanan syarikat.

“Alahai, cakaplah nak habiskan duit rakyat. ‘Kan senang dan tak berbelit. Baru nampak jujur. Hujah ini seolah-olah GLC yang tiada Ahli Parlimen di dalamnya macam tak wakili rakyat. Maaf, siapa ajar ni?” bidasnya.

Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang menyifatkan Zuhdi sama sekali tiada pengalaman pentadbiran dalam kerajaan berbeza dengan pemimpin AMANAH yang menjadi Ahli Parlimen.

“Dia (Mohd Zuhdi) ini tak pernah jadi Ahli Parlimen atau Adun atau Senator jauh sekali jadi Menteri atau Timbalan Menteri.

“Jadi, maaf cakap, apa yang dia tahu? Teruk teruk jebon (panggilan orang Pas kepada pemimpin AMANAH) pun ada jugalah pengalaman jaga Parlimen. Tahulah sikit-sikit, insyaAllah,” dipetik dari Facebook beliau.

Hanipa turut memberikan contoh kepincangan pengurusan Lembaga Tabung Haji ketika dipengerusikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim merangkap Ahli Parlimen Baling.

“Mahu wakili rakyat sangatlah apabila Lembaga Tabung Haji dulu, ‘kan MP yang pengerusikan LTH?

“Bukankah MP itu pandai jaga wang rakyat di LTH? Punyalah pandai sehingga zaman MP itu (Abdul Azeez) terajui LTH , tiada isu walau sekecil zarah. Very impressive apa.

“Pengerusi pun hidup sederhana hingga pernah media lapor dia mengaku hanya pakai jam tangan second hand saja!” sindir peguam tersebut.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mempersoal sama ada Zuhdi tahu apa yang dikatakan apabila pemimpin Pas tersebut berkata pelantikan Ahli Parlimen sebagai pengerusi GLC memberi kelebihan untuk menjawab persoalan isu berbangkit di Parlimen.

“Hujah ini lagi lucu. Dia kata lantik MP supaya MP boleh jawab soalan tentang GLC dalam Parlimen. Dia tahukah apa yang dia cakap ni?

“Tahukah dia standing orders? Tahukah konsep ministrial responsibility di bawah doktrin separation of powers? (bukan Power Rangers tau).

“Tahukah apa dia peranan sebenar MP kerajaan atau backbenchers?” soal Hanipa lagi.