Malaysia Dateline

Lantik MP ketuai GLC sebagai tindakan ‘tangkap muat’

Pengumuman kerajaan yang bakal melantik kesemua ahli Parlimen kerajaan untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disifatkan sebagai tindakan ‘tangkap muat’ untuk mengisi jawatan tanpa mengira kepakaran tugas yang akan dipikul.

Malah, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pengalaman pahit yang lepas menyaksikan bagaimana kebanyakan ‘pemantau’ politik memainkan peranan tidak amanah ibarat pagar makan padi.

“Pada waktu lepas apabila masalah rasuah berlaku, pihak lain pula yang dihukum, kerana orang politik ialah ‘pemantau kebal’ walaupun bersalah campur tangan melalui tangan ghaib.

“Pengalaman saya sebagai konsultan dahulu dan juga pernah bertugas di Kementerian Putrajaya, banyak campur tangan politik atasan dalam GLC di mana harga tanah dan tender projek terlalu tinggi sehinggakan projek gagal dilaksanakan.

“Selepas begitu banyak usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil satu langkah kehadapan menyusun semula struktur syarikat GLC, tindakan terbaru melantik kembali orang politik merupakan tiga langkah ke belakang,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ahli Parlimen yang dilantik sebagai pengerusi di syarikat GLC kelak akan berperanan sebagai wakil rakyat yang ‘memantau’ perjalanan syarikat di bawah tanggungjawabnya.

Manakala menurutnya, urusan pengurusan dan pentadbiran GLC pula boleh dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah atau Pengurus Besar yang seharusnya bukan dari golongan politik.

Sementara itu, Kamarul yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu menegaskan, ahli Parlimen baru yang akan dilantik kelak secara tidak langsung bakal merampas lebih banyak peluang perkerjaan dari rakyat biasa yang lebih berkelayakan.

Memperincikan perkara itu, menurutnya, lantikan ahli Parlimen atau Dun yang memegang beberapa jawatan lembaga pengarah adalah amalan lama yang merugikan negara dan rakyat, di saat ekonomi perlu dipulihkan dan diselamatkan.

Beliau turut mempersoalkan, bagaimana kelangsungan hidup rakyat biasa dalam keadaan rakyat kehilangan pekerjaan sekiranya pemerintah berterusan memonopoli syarikat kerajaan dengan lantikan politik.

“Amat menghampakan rakyat. Tanpa segan silu Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan megahnya mengumumkan kesemua MP kerajaan akan dihadiahkan pelantikan ketua GLC tanpa mengira kesesuaian dan kelayakan yang bertentangan dengan Program Transformasi 2015.

“Adakah ini diantara contoh utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak mempunyai manifesto untuk pengundi generasi muda ikuti di tahun 2020 ini?

“Adakah ini diantara nilai hala tuju mengurus ekonomi negara yang sesuai dicontohi dari kerajaan pintu belakang di bawah konsep membina bersama Islam di bawah Kerajaan Melayu,” soalnya lagi.