Lantik MPKK harus adil antara komponen PH

Lantik MPKK harus adil antara komponen PH
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin bersama ahli baru PKR Cabang Bagan yang menyerahkan borang keahlian mereka.

Isu pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) haruslah dilaksanakan secara adil dan saksama antara komponen parti dalam Pakatan Harapan, khususnya di Pulau Pinang.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh ketika ditemui selepas penyerahan 500 borang keahlian baru PKR Cabang Bagan kepada Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin di Bandar Perda.

Jelas beliau lagi, apabila pelantikan dilaksanakan dengan adil antara komponen parti sudah pasti gerak kerja dapat dijayakan dengan lebih efisien.

Alan Oh

“Menyedari kita mempunyai PKR, Dap, Amanah dan Bersatu sebagai rakan komponen yang begitu akrab dalam PH.

“Oleh kerana itu agihan kerusi bagi pelantikan MPKK haruslah disempurnakan dengan adil supaya tidak ada yang mendominasi mana-mana kerusi dan pelantikan.

“Seringkali kita memperkatakan mengenai pengorbanan maka sudah seharusnya ada yang perlu berkorban untuk kesejahteraan kampung dan juga masyarakat, ” ujarnya lagi.

Malah kata Alan lagi, sekiranya perkara yang berkaitan dengan keperluan dan kepentingan komuniti kampung juga dipolitikkan, adalah ditakuti apa yang diharapkan tidak menjadi realiti.

“Kerajaan negeri harus peka dan memberi tumpuan yang serius terhadap pelantikan MPKK.

“Kesemua parti komponen yang ada dalam PH di Pulau Pinang harus diberi keadilan dan kesaksamaan.

“Apabila ini berjaya disempurnakan, sudah pasti komitmen yang diberikan mampu mencapai tahap tinggi dan amat memanfaatkan semua golongan masyarakat yang diwakili, ” tegasnya lagi.

Tambah beliau lagi, kekuatan yang ada pada PH adalah kerana kesepaduan dan kesepakatan sejak 2008 lagi.

Sehubungan itu katanya, kekuatan sedia ada sehingga mampu menerajui Pulau Pinang sehingga kini mesti dimantapkan lagi dengan kerjasama yang lebih erat tanpa adanya prejudis antara satu sama lain.