Lantik Peguam Negara: Pemikiran order lama BN lawan order baharu PH

Lantik Peguam Negara: Pemikiran order lama BN  lawan order baharu  PH

Cadangan nama Tommy Thomas untuk calon Peguam Negara perlu diberi keadilan dan tidak boleh berhujah atas nama perkauman, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Beliau berkata, sebahagian masyarakat negara ini tidak memberi keadilan dengan mengambil alasan yang berat sebelah menyokong saki-baki pemikiran order lama Barisan Nasional (BN) yang terbukti ‘memperkakaskan’ instrumen penting negara untuk melindungi pihak berkepentingan.

“Lebih buruk, sebahagian kita mengheret institusi raja untuk menyokong kehendak mereka yang masih berpaksikan daki order lama.

“Raja menjangkau sebarang perkiraan politik dan sebagai pelindung agama YDPA akan membuat keputusan berpandukan al Quran dan Sunnah berteraskan konsep al Qawwi al Amin dengan nasihat Perdana Menteri,” ujarnya dalam kenyataan.

Thommy Thomas

Beliau mengulas mengenai penolakan YDP Agong Sultan Muhammad V terhadap cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara bagi mengantikan Tan Sri  Mohamed Apandi Ali.

Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menjelaskan, dalam order baru di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan mudah untuk rakyat menerima perubahan.

“Sememangnya untuk order baharu bertapak bukan mudah tetapi rakyat perlu yakin bahawa order baharu datang untuk membina semula segala kerosakan yang dibuat oleh order lama BN, paling terbesar ialah mainan api perkauman dan agama sempit yang meruntuhkan fondasi negara.

“Saya tiada masalah jika perbahasan soal calon atas merit dan integriti kerana ia menjangkau kaum dan agama.

“Tetapi saya tidak dapat menerima jika perbahasannya atas prejudis kaum dan agama dengan alasan-alasan yang boleh memudaratkan kesepaduan kaum dalam negara ini.

“Pakatan Harapan telah berjaya bergelut untuk jadi kerajaan Malaysia hari ini namun pergelutan order lama vs order baharu, kini baharu sahaja bermula.” katanya.

Justeru soalnya lagi adakah rakyat negara ini bersedia untuk memasuki order baharu yang diterokai oleh PH?

“Order lama BN ditentukan oleh pemikiran Melayu vs bukan Melayu dalam membuat pilihan. Pemikiran ini banyak membantut peluang mendapat yang terbaik di kalangan rakyat Malaysia. Lebih buruk ialah order lama ‘memperkakaskan’ jawatan Peguam Negara untuk memenuhi kehendak ‘menjaga PM’ dari berbagai skandal antaranya 1MDB.

“PH ialah order baharu di mana asas pemilihan ialah proses undang-undang, merit serta kelayakan. Ini bertepatan dengan konsep Islam dalam menentukan perjawatan seseorang adalah di atas ‘al Qawwi al Amin’ iaitu Merit dan Berintegriti. Perbahasan ini berpandukan pada surah al Qasas: 26.

“Memberikan keadilan mestilah tidak dihalang oleh prejudis kaum atau agama begitulah juga melantik mereka yang menjaga keadilan perlu dibuat tanpa prejudis kaum dan agama juga.

“Firman Allah dalam Al Maidah : 8 yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” ujarnya.

9.3
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 10.0