Lantik Peguam Negara perlu berdasarkan perlembagaan, merit, kata Pemuda AMANAH

Lantik Peguam Negara perlu berdasarkan perlembagaan, merit, kata Pemuda AMANAH
Faiz Fadzil 2

Faiz Fadzil

Cadangan untuk melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah berdasarkan kepada kelayakan perlembagaan dan juga merit.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil ketika ditemui di Masjid Jamiul Jalal, Pajak Song, Kepala Batas, semalam.

Jelas Faiz lagi, Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk menasihati Yang Dipertuan Agong bagi melantik Peguam Negara.

Malah ujarnya, kelayakan perlembagaan pula meletakkan syarat bagi seseorang Peguam Negara perlulah layak dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu katanya, Tommy Thomas sebagai peguam kanan adalah memenuhi kriteria yang ditetapkan sepertimana termaktub dalam Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan.

“Pemuda AMANAH berpendapat bahawa Tommy Thomas mempunyai kelayakan dari segi merit memandangkan beliau adalah antara peguam kanan dalam negara yang terkenal.

“Disamping itu ia juga banyak mengendalikan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan undang-undang yang rumit serta isu Perlembagaan.

“Rekod juga menunjukkan beliau pernah mewakili Pakatan Rakyat mengendalikan kes pilihan raya mencabar SPR berkaitan isu dakwat kekal sebelum ini, ” kata Faiz.

Faiz yang juga merupakan Adun Permatang Pasir turut berkata, Tommy Thomas pernah mewakili kerajaan negeri Kelantan mengendalikan kes saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berkaitan hak royalti minyak Kelantan dibawah perjanjian ‘Kelantan Petroleum Agreement’.

Selain itu katanya, Tommy Thomas pernah mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang menentang Kerajaan Malaysia dalam isu kesahihan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Pemuda AMANAH percaya bahawa pelantikan Tommy Thomas mengendalikan kes-kes sebegini bukan atas faktor sokongan kepada pembangkang tetapi adalah atas dasar kelayakan beliau mengkaji isu undang-undang selain kebijaksanaan berhujah.

“Walaupun timbul pertikaian berkenaan kelayakan beliau untuk dilantik sebagai Peguam Negara, kerana ia bukannya seorang Ahli Parlimen sepertimana yang digariskan dalam Buku Harapan.

“Menurut Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, ia boleh dilantik sebagai Ahli Parlimen di Dewan Negara dan seterusnya dilantik sebagai Peguam Negara untuk memenuhi hasrat Pakatan Harapan meletakkan Peguam Negara dibawah Parlimen, ” tambahnya lagi.

Faiz juga berkata, Pemuda AMANAH turut berpendapat pelantikan Peguam Negara haruslah berpremiskan Perlembagaan dan Merit.

Tegasnya lagi, dalam usaha membina Malaysia Baru, pemerkasaan bangsa Malaysia mengatasi perbezaan kaum dan juga ideologi.

“Kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam tidak akan terjejas kerana ia telah dijamin dipelihara oleh Pakatan Harapan.

“Peguam Negara juga tiada kuasa untuk mengubah keistimewaan Islam dan Melayu kerana kedua-dua keistimewaan tersebut adalah prerogatif legislatif.

“Kelayakan beliau harus diberi pertimbangan kerana terdapat banyak kes-kes berprofil tinggi dan rumit perlu diselesaikan kerajaan termasuk skandal mega 1MDB dan penelitian semula perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai kerajaan sehingga merugikan negara, ” katanya.

Kata Faiz lagi, pelantikan segera Peguam Negara amat penting bagi melicinkan pentadbiran kerajaan baru yang dipilih rakyat bagi menyokong agenda perubahan yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan.

Faiz Fadzil (berbaju hitam) bersama jemaah Masjid Jamiul Jalal, Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote