Malaysia Dateline

Lantik proksi urus projek, eksekutif GLC ditahan SPRM

Seorang eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dalam urusan projek.

Selain lelaki itu, dua lagi yang ditahan disyaki terbabit dalam projek di syarikat GLC itu ialah seorang lelaki dan wanita, masing-masing pemilik syarikat swasta.

Mereka yang berusia antara 40 hingga 57 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang di Pejabat SPRM Selangor, ketika hadir memberi keterangan, lapor Bernama.

Eksekutif syarikat GLC terbabit menggunakan kedudukannya sebagai ketua projek dengan mengesyorkan dan melantik proksinya sebagai pengurus projek di syarikat swasta itu, bagi menguruskan projek tersebut bagi pihaknya.

Ketiga-tiga mereka difahamkan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, bagi permohonan reman.