Malaysia Dateline

Lantik Senator dari Sarawak dan Sabah, kata Hud Andri

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak berharap agar lantikan Senator Dewan Negara diberikan kepada wakil Parti AMANAH dari Sarawak dan Sabah

Timbalan Pengerusinya Hud Andri Zulkarnaen menegaskan, bagi menterjemahkan nilai inklusif parti agar terus diyakini rakyat, melantik senator dari ahli-ahli AMANAH Sarawak dan Sabah adalah bertepatan.

“Ini kerana,sekurang-kurangnya kami ada wakil di peringkat tertinggi sebagai pengubal dasar sekali gus mampu mengangkat nilai inklusif parti di mata rakyat khususnya di Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di IDCC Shah Alam di sini pada hari terakhir Konvensyen Nasional 2019 AMANAH hari ini.

Hud Andri seterusnya menyentuh isu utama yang timbul berkaitan komunikasi selepas 19 bulan Pakatan Harapan (PH) menerajui Kerajaan Persekutuan dengan menggambarkan kegagalan menerobos media massa perdana di negara ini.

Katanya, ahli-ahli parti haruslah menjadi pemudah cara,penyampai dan berperanan sebagai telinga dan mata supaya segala inisiatif dan dasar kerajaan sampai kepada akar umbi.

Jelas beliau lagi,inisiatif seperti MySalam, PeKaB40, i-Suri dan lain-lain bantuan daripada kerajaan gagal disampaikan dengan baik kepada rakyat adalah kerana masalah komunikasi.

“Implikasinya kita telah gagal menerobos media massa arus perdana yang boleh dikategorikan kegagalan gred D.

“Dengan kegagalan itu,bermakna kita tidak dapat menzahirkan agenda dan inisiatif kepada rakyat sekali gus memberi persepsi yang tidak baik untuk keseluruhannya,” tegas beliau lagi.

Pada masa sama, Hud Andri memberitahu bahawa AMANAH Sarawak sentiasa menyokong polisi atau dasar yang akan dilaksanakan Kerajaan Pusat demi kesejahteraan rakyat di Sarawak.

“Oleh demikian,saya menekankan bahawa AMANAH Sarawak akan sentiasa menyokong apa jua polisi dan tindakan yang bakal dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dalam mencapai misi ‘Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’ tanpa mengira negeri, warna kulit, kaum, budaya dan agama di negara tercinta ini,” ujarnya.

Beliau turut menggesa agar 13 kerusi yang pernah ditandingi AMANAH Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRU11) 2016 akan terus dikekalkan pada PRN12 nanti.

Katanya, kerusi berkenaan ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya Gedong, Sebuyau,Beting Maro, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng dan Balingian.

“Dengan ini,AMANAH Sarawak berharap agar pada PRN12 akan datang,13 kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini,akan kekal milik kita.

“Ini berdasarkan konsensus dan kebersamaan yang telah diputuskan kepimpinan tertinggi PH Sarawak selepas berjaya menduduki Putrajaya pada 9 Mei 2018 lalu.

“Justeru, konsensus ini mestilah dipertahankan dan wajib dihormati kerana kesepakatan itu telah meletakkan asbab utama jatuhnya rejim kleptokrasi,” kata Hud Andri.