Lantikan Dr Maszlee sebagai Presiden UIAM satu kesilapan

Lantikan Dr Maszlee sebagai Presiden UIAM satu kesilapan

Ulasan: Beberapa hari yang lepas, Malaysia telah menyambut “hari terkejut” berhubung dengan kes dakwaan rasuah banglo Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Saya fikir hari terkejut hanya akan dirayakan sehari, rupa-rupanya sambutan “hari terkejut” diteruskan semalam apabila Dr Maszlee dilantik sebagai Pengerusi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pakatan Harapan (PH) kerap mengatakan ingin mengembalikan kuasa autonomi kepada universiti, lantikan Dr Maszlee selaku Menteri Pendidikan sebagai Pengerusi UIAM adalah tindakan yang bertentangan dengan laungan membebaskan universiti.

Untuk memudahkan proses universiti mendapatkan autonomi penuh – pengaruh kementerian terhadap universiti harus dikurangkan, melantik Menteri Pendidikan sebagai Presiden adalah langkah keterbelakang dalam menuntut autonomi universiti.

Prestasi Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan
Ketika Pakatan Harapan mencapai usia 100 harinya, Wan Saiful Wan Jan selaku pegawai khas Dr Maszlee telah mengumumkan 43 inisiatif yang dikatakan telah dicapai oleh Kementerian Pendidikan.

Dalam konteks pendidikan tinggi, secara jujur – saya tidak melihat terlalu banyak perkara yang boleh dibanggakan dalam inisiatif tersebut.

Bagi saya Kementerian Pendidikan hilang “impak segera” atau kerap dipanggil “quick win” dalam perancangan mereka.

Saya percaya dalam setiap perancangan perlu ada perancangan quick win, jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) masih berdiri tegak dan bersiap sedia untuk memancung leher mahasiswa yang derhaka.
Kemudian dikumpulkan pula para sarjana untuk mengkaji Auku-ada diantara sarjana ini pernah dikaitkan menggunakan Auku untuk menghukum pelajar. Kemudian pada akhbar, Dr Maszlee kerap mengatakan ingin mendengar suara pelajar – mengapa tidak dimasukkan mahasiswa yang pernah menjadi mangsa Auku dalam komiti kajian Auku?

Semalam saya membaca kenyataan Suara Siswa UM – mereka terkejut dengan kenyataan akhbar Dr Maszlee yang katanya masih menunggu untuk bertemu dengan mahasiswa untuk mendapatkan “input”.
Kenyataan ini kelihatan aneh apabila Suara Mahasiswa Universiti Malaya telah menghantar surat sebanyak dua kali untuk melakukan temu janji namun sehingga hari ini surat mereka tidak dibalas.
Jika Dr Maszlee “komited” untuk mendengar pandangan mahasiswa, maka ia sepatutnya diterjemahkan dalam bentuk aksi bukan kenyataan akhbar semata-mata.

Dr Maszlee sebagai Pengerusi UIAM

Beberapa hari selepas dilantik menjadi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee melaungkan seruan – pada era baharu ini, dia sendiri akan memastikan institusi pendidikan tidak akan digunakan sebagai alat politik. Azan yang dia laungkan disambut dengan baik oleh segenap ahli akademik dan mahasiswa. Ramai yang percaya era lantikan politik di universiti akan segera berakhir, para pengampu yang sebelum ini akan hilang jawatannya.

Anehnya – hanya beberapa individu yang melepaskan jawatan secara “terhormat” dan selebihnya hanya perlu menukar warna dan bertukar sorak. Baju biru yang dahulu mereka sering gunakan dihantar ke pusat pelupusan sampah, baju merah putih dipakai dengan penuh rasa bangga sambil bersorak Malaysia Baru!

Selalu Menteri Pendidikan yang didampingi oleh ramai “pegawai khas”, Dr Maszlee seharusnya menyedari perkara ini. Dia menjaga kementerian yang besar dan bebanan tugas yang maha berat, mengapa perlu ditambah bebanan itu?

Pelantikan Menteri sebagai Pengerusi Universiti juga akan menyuburkan budaya “bodek” yang sememangnya popular dalam kalangan ahli akademik kita.

Lantikan tersebut turut akan menimbulkan isu “favouritism” terhadap UIAM kelak.

Dr Maszlee pernah berikrar akan memastikan universiti tidak akan digunakan sebagai alat politik dilantik menjadi Pengerusi universiti?

Setiausaha Politik Menteri pula dilantik menjadi Ahli Lembaga Universiti Utara Malaysia? Nampaknya pembahagian “ghanimah” PRU14 masih belum berakhir.

Lantikan politik yang menjadi penyebab utama “kemurungan” kebebasan akademik pada kerajaan sebelum ini masih lagi diamalkan.

Dr Maszlee yang dahulu, bukanlah yang sekarang

Kebanyakan kita mengetahui, sebagai ahli akademik Dr Maszlee layak untuk memegang jawatan Pengerusi UIAM. Sejarah juga menyaksikan dia merupakan antara individu yang selalu ditekan ketika menjadi pensyarah di UIAM. Namun, Dr Maszlee kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar, yakni selaku Menteri Pendidikan.

Saya percaya dia masih mendambakan kebebasan akademik dan autonomi universiti, atas prinsip tersebut saya fikir wajar dia memberikan jawatan Pengerusi UIAM kepada orang lain.

Semoga lantikan itu akan berasaskan merit, bukan lantikan politik.

*Rahman Imuda merupakan aktivis mahasiswa.

COMMENTS

Wordpress (0)