Malaysia Dateline

Lantikan Politik dalam GLC: Wajar disokong atau disanggah?

Apa itu GLC?

Sebelum berbahas lebih lanjut, wajar kita ketahui apa itu GLC? GLC merupakan singkatan kepada Government Linked Companies iaitu syarikat berkaitan kerajaan sekiranya istilah itu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Syarikat berkaitan kerajaan ini ialah satu entiti berdaftar yang menjalankan aktiviti komersil bagi pihak kerajaan. Ia juga boleh diisytihar sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan kerana kerajaan persekutuan telah memperuntukkan separuh atau semua dananya dalam pelaburan GLC tersebut.

Selain itu, kerajaan juga berkuasa melantik dan meluluskan pelantikan anggota lembaga pengarah dan pengurusan atasan sesuatu GLC tersebut. Selain dari penawaran dana, kerajaan juga menjamin modal dan memantau operasi GLC tersebut. Dalam konteks Malaysia contoh GLC ialah Petronas, KWSP, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Haji, Felda, Felcra dan PNB.

Kepentingan GLC kepada Kerajaan

Menurut Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin dalam artikelnya ‘Peranan GLC dalam Kemakmuran’ bertarikh 14 April 2020, GLC – GLC ini ditubuhkan khas untuk mempelopori dan menerokai bidang ekonomi dan perniagaan bagi pihak bumiputera berikutan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1971. Menurutnya lagi, meskipun terdapat banyak pihak yang membantah penyertaan kerajaan dalam perniagaan melalui GLC dan GLIC atas alasan ‘bukan urusan kerajaan terlibat dalam perniagaan’ namun terdapat juga banyak faedah yang seharusnya diambil kira.

Contohnya, seperti yang kita sedia ketahui, GLC ini banyak terdiri dari syarikat – syarikat yang gergasi dan kebanyakan daripadanya memiliki kaunter – kaunter saham yang besar di Bursa Malaysia. Secara tak langsung kewujudan GLC ini banyak memberi nafas dan menaikkan martabat dan prestasi Bursa Malaysia. Pelabur – pelabur asing juga lazimnya masuk ke Bursa Malaysia dan membeli saham syarikat gergasi berstatus GLC ini seperti saham kumpulan Petronas, Telekom Malaysia, dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Di samping itu, GLC ini juga akan memberi balik pulangan berbentuk keuntungan dan dividen kepada kerajaan dan duit inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk membangunkan negara. Misalnya, PNB pada 14 April 2020 mengumumkan sumbangan lebih RM 23 juta yang diberi dalam bentuk sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan wabak COVID – 19. Manakala, Petronas pula pada tahun 2019 memberi dividen berjumlah RM 54 billion kepada kerajaan Malaysia. Satu jumlah yang banyak bukan? Oleh sebab itu, kita sentiasa memerlukan pembabitan GLC dalam bidang perniagaan bukan untuk kepentingan Bumiputera semata – mata tetapi juga demi mengukuhkan ekonomi negara saban tahun.

Lantikan Politik dalam GLC

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dari British, empat komponen parti telah membentuk kerajaan iaitu Perikatan (1957 – 1973), Barisan Nasional (1973 – 2018), Pakatan Harapan (2018 – 2020) dan kini Perikatan Nasional (2020 – sekarang). Tujuan penulis menyenaraikan ini adalah untuk memudahkan pembaca memahami bagaimana perjalanan GLC di sepanjang era kerajaan tersebut;

Era Perikatan dan Barisan Nasional (1957 – 1973) & (1973 – 2018)

Kebanyakan GLC banyak ditubuhkan pada era ini dan boleh dikatakan ini adalah era pengasasan dan pembangunan GLC. Kebanyakan GLC diwujudkan dan diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Malaysia. Langkah ini diambil supaya pendekatan GLC dapat diselaraskan dengan aspirasi kerajaan pada waktu itu dan untuk merealisasikan hasrat ini juga, parti kerajaan melantik banyak ahli politik serta ahli parlimen dari pihak mereka untuk mengetuai GLC tersebut.

Namun, pelantikan ini banyak mengundang padahnya apabila Menteri yang mengetuai Kementerian Kewangan juga merupakan Perdana Menteri. Penumpuan kuasa politik dan korporat di tangan Menteri dan Perdana Menteri yang menjadi Menteri Kewangan itu didakwa menyumbang kepada penyalahgunaan serius terhadap institusi berasaskan perniagaan seperti 1MDB, Lembaga Tabung Haji, MARA dan Petronas. Malahan, GLC yang dibentuk juga menjadi alat politik penting kepada elitis politik untuk mengekalkan dan mengukuhkan kuasa mereka dan GLC selalu digunakan untuk membantu kepentingan mereka melalui penyaluran konsesi (Projek) ke kawasan bagi mendapatkan sokongan pilihan raya.

Era Pakatan Harapan (2018 – 2020)

Ketika kempen Pilihan Raya Umum 2018, Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, telah berjanji untuk mereformasikan GLC. Selepas memenangi Pilihan Raya tersebut, Pakatan Harapan telah menggantikan lantikan politik dalam GLC tersebut dan melantik golongan Professional sebagai pengerusi dan pengurus GLC sekaligus membuktikan mereka ini mengotakan janji untuk mereformasikan institusi pentadbiran dalam GLC.

Pelantikan ini dilihat selaras dengan tujuan utama penubuhan GLC di mana ia bertujuan untuk menjalankan perniagaan dan seharusnya diterajui golongan teknokrat dan professional supaya dapat menjalankan fungsi GLC yang sebenar bukannya tempat memberi habuan politik. Contohnya,Tuan Rosli bin Man dilantik sebagai Pengerusi TM dan Tan Sri Ahmad Badri dilantik Pengerusi TNB. Kedua – dua ini merupakan lantikan professional.

Era Perikatan Nasional (2020 – sekarang)

Setelah Perikatan Nasional membentuk kuasa melalui jalan belakang (seperti yang selalu disebut politikus), kebanyakan lantikan professional yang diamalkan oleh Pakatan Harapan telah dikaji semula kedudukan mereka bahkan ada yang disingkirkan. Seperti yang terjadi kepada Puan Noripah Kamso yang ditamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Bank Rakyat, Puan Hasnita Hashim sebagai Pengerusi Mara dan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi MPOB. Tindakan ini telah menimbulkan pelbagai pandangan tidak kurang juga kecaman. Tan Sri Rafidah Aziz menerusi pandangannya berkata beliau berasa ‘meluat’ dan mengecam tindakan kerajaan sekarang menyingkirkan ramai orang berwibawa daripada jawatan tertinggi GLC dan menyifatkan keputusan ini bakal membawa negara kembali ke zaman belakang.

Seterusnya, kerajaan dilihat sekali lagi mencetuskan kontroversi di kalangan masyarakat apabila kenyataan Menteri di JPM (Undang – undang) mengatakan semua MP kerajaan akan dilantik mengetuai GLC. Pengkritik mengatakan tindakan ini adalah untuk mengukuhkan kuasa Perdana Menteri dan kerajaan dan tindakan sebagai usaha menyelamatkan diri sekiranya undi tidak percaya terhadap kerajaan dilaksanakan di Parlimen kelak. Selain mengembalikan amalan kerajaan BN sebelum ini, langkah ini juga dilihat sebagai imbuhan kepada ahli parlimen yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di samping mengukuhkan pengaruh beliau dalam kerajaan.

Kesimpulannya

GLC merupakan syarikat utama yang memainkan peranan penting dalam ekonomi, dan keperluan untuk mereformasikan institusi ini perlu menjadi keutamaan. Perubahan besar terhadap lantikan ini pada masa kini perlu dipersoalkan kerana ia akan menimbulkan gangguan terhadap pentadbiran GLC itu sendiri. Kebobrokan dan salah laku dalam urus tadbir GLC yang berlaku sebelum ini sehingga wujud penyelewengan dan kerugian dibimbangi berulang jika wujud campur tangan politik seperti yang berlaku sekarang. Memetik ulasan ADUN Permatang Pasir YB Faiz Fadzil, ‘negara tidak akan maju jika reformasi institusi tidak dilakukan dalam GLC dan pentadbiran.’

Walaupun GLC perlu dipandang dan diperlakukan secara proaktif untuk menampung dan memperkuatkan ekonomi negara, namun syarikat ini tidak seharusnya menjadi alat untuk mengekalkan dan memperkukuhkan kuasa seseorang atau sesuatu pihak. Kembalikan ia kepada tangan – tangan professional yang dapat memandu GLC ini seiring dengan tujuan asal penubuhannya.

* Penulis adalah Aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI