Malaysia Dateline

Lantikan politik: PH harus pastikan integriti dan pengisytiharan harta, kata Pemuda AMANAH.

Kerajaan PH diingatkan agar memastikan mana-mana individu lantikan politik membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dipastikan integiriti dan melakukan pengisytiharan harta.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir berpandangan, rata-rata lantikan politik khususnya yang berjawatan tinggi akan bergaya mewah sehingga diluar kemampuan sebenar sebagai penjawat lantikan politik.

“Sejarah pemerintahan BN telah membuktikan terdapat Menteri yang menjadikan jawatan bagi mengumpul kekayaan.

“Sudah pasti anak buahnya memerhati dan menuntut perkara yang sama, lebih-lebih lagi ketika musim pemilihan parti.

“Oleh kerana itu tidak hairanlah apabila kita mendengar ada yang bergaji besar dengan memegang beberapa syarikat GLC, ” ujarnya ketika ditemui.

Malah katanya, menerima komisen projek sebagai perkara biasa yang lumrah dalam setiap rundingan dan bermacam kaedah untuk mengaut segala hak rakyat.

“Bak kata Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa era reformasi 1998, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.

“Sehubungan itu segala urusan lantikan politik pada ketika ini, haruslah ditanam dengan prinsip padu untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh jiwa dan raga.

“Pakatan Harapan bakal teruji dengan segala ganjaran lumayan ciptaan BN selama ini, ” jelasnya.

Kata Abdullah Suady lagi, rakyat semakin lega apabila ramai susuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) sering menjadi ‘wibawa dan telus’ sebagai prinsip melantik lantikan politik.

“Sebagai pencegahan salah guna kuasa, maka PH harus tekankan etika integriti dan pengisytiharan harta bagi semua lantikan politik direkodkan.

“Kepercayaan rakyat pada hari ini tidak lain berasaskan kepada pengurusan harta rakyat, pada masa yang sama ia membantu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dalam negara ini.

“Sejajar dengan itu kini pelbagai suara menagih untuk menerajui GLC sudah mulai kendengaran di setiap ceruk dan sudut yang perlu dipertimbangkan dengan sedalam-dalamnya oleh pimpinan PH, ” tambahnya lagi.