Malaysia Dateline

Lantiklah Menteri Kanan jurucakap Covid-19, kata Azalina

Pemimpin Umno terus menyerang kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan desakan agar seorang Menteri Kanan dilantik sebagai jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bekas menteri kerajaan Barisan Nasional, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, orang ramai perlu mengenali jurucakap itu sebagaimana Datuk Seri Hishamuddin Husein diletakkan sebagai jurucakap kerajaan ketika mengendalikan kemalangan kapalterbang MH370 dahulu.

“Wahai PM8 @ Muhyiddin Yassin, tolonglah lantik Menteri Kanan sebagai jurucakap MKN. Sila perkenalkan dia sebagai jurucakap rasmi MKN sebagaimana kami meletakkan H2O (Hishamuddin) sebagai jurucakap dalam krisis MH370,” kata Azalina melalui twitter beliau.

Sebelum ini, Azalina antara ahli parlimen Umno yang tidak berpuas hati dengan lantikan jawatan kabinet kerajaan baru yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Gabungan kerajaan harus berdasarkan perwakilan yang seimbang dan bukannya didominasi oleh satu parti.

“Untuk menjadikannya sah, mesti ada perjanjian bertulis antara parti politik yang terlibat,” ciapnya di Twitter tengah.

Sehingga kini, kerajaan tidak menamakan siapa jurucakap rasmi MKN yang menguruskan kes Covid-19 yang sudah menjadi wabak.

Sebelum ini, hanya PM Muhyiddin yang menjadi jurucakap kerajaan dalam isu Covid-19.

Selain Muhyiddin, anggota tetap MKN sebelum ini adalah Menteri Dalam Negeri, Pertahanan dan Komunikasi.