LAP: Penutupan loji LRA Ayer Ganda dicemari arsernik berkuat kuasa hari ini

LAP: Penutupan loji LRA  Ayer Ganda  dicemari arsernik berkuat kuasa hari ini

Lembaga Air Perak (LAP) akan menghentikan Loji Rawatan Air (LRA)  Ayer Ganda di Gerik, Perak serta merta berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu susulan arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mendapati sumber air mentah LRA itu telah dicemari dengan bahan arsenik.

Ekoran itu, SPAN meminta LAP membekalkan air kepada pengguna di kawasan terlibat menggunakan lori tangki dan menempatkannya di tempat-tempat strategik.

“LAP mengemukakan cadangan untuk memasang paip bagi membekalkan air ke kawasan Ayer Ganda daripada LRA Lawin.

“SPAN juga akan mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemeriksaan percuma kepada pengguna yang mendapat bekalan air dari LRA Ayer Ganda.

“SPAN menggesa pihak-pihak yang terlibat mengkaji perkara ini kerana jika ikan atau hidupan laut yang terkesan dengan pencemaran arsenik ini dimakan oleh pengguna, akan memberi risiko kesihatan kepada mereka,”ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, SPAN turut memohon kerjasama pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan supaya mengambil tindakan dalam menangani punca pencemaran arsenik ini.

SPAN juga akan ambil tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang melanggar mana-mana peruntukan undang-undang di bawah akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

LRA Ayer Ganda yang berkapasiti mengeluarkan 0.68 juta liter air sehari itu membekalkan air kepada kira-kira 312 akaun pengguna di Kampung Ayer Ganda di situ.

Pada 4 April lepas, pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari mendedahkan Sungai Rui diyang menjadi sumber air LRA Ayer Ganda dipercayai tercemar kerana mengandungi arsenik.

Beliau berkata, pencemaran itu dikenal pasti menerusi pemantauan kualiti air oleh Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Alam Sekitar di sungai berkenaan baru-baru ini.

Katanya, LAP juga diarahkan membekalkan air kepada kira-kira 312 akaun pengguna di Kampung Ayer Ganda menggunakan lori tangki dan menempatkan tangki statik di lokasi terlibat.

Dalam pada itu, Pengerusi sPAN Charles berkata, berdasarkan keputusan mesyuarat pada Selasa lalu, SPAN memberi amaran supaya LRA tersebut ditutup, selain meminta Kementerian Kesihatan menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas penduduk kawasan terbabit.