Malaysia Dateline

Lapan bahagian Bersatu di Perak diiktiraf perwakilan tidak wajar, kata Bersatu Kuala Kangsar

Tindakan mengiktiraf lapan bahagian Bersatu negeri Perak serta diberikan status sebagai perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang sedang diadakan adalah tidak wajar dilakukan kerana kedudukan bahagian-bahagian tersebut masih lagi berstatus pemerhati.

Amir Hashim Yot

Demikian dinyatakan oleh mantan Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Kuala Kangsar, Amir Hashim Yot semalam.

Jelas beliau lagi, bahagian-bahagian tersebut ialah Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Lenggong, Gopeng, Batu Gajah, Ipoh Timur dan Tapah.

“Banyak bukti yang boleh didedahkan mengenai kedudukan tidak sah perwakilan bahagian-bahagian tersebut.

“Terdapat penipuan dan lakonan seolah-olah bahagain tertentu telah mengadakan mesyuarat kali pertama bagi tahun 2018.

“Selain itu juga terdapat minit mesyuarat yang dihantar ke Ibu Pejabat adalah tidak betul dan direka oleh kumpulan tertentu, ” ujarnya lagi.

Menurut Amir Hashim lagi, tidak dapat disangkal ada pihak terbabit menjemput semua ahli jawatankuasa untuk menghadiri mesyuarat bahagian, tetapi bukan dua pertiga yang hadir sepertimana yang dikehendaki oleh perlembagaan parti.

“Ada mesyuarat yang diadakan tidak cukup korum dan notis mesyuarat yang diberikan dalam tempoh empat hari dan tidak mengikut peraturan.

“Mengikut peraturan parti, apa yang sedang berlaku dan tidak mengikut prosidur boleh membawa kesan yang buruk kepada parti.

“Sebaliknya ia bercanggah dengan pekeliling Pendaftar Pertubuhan bertarikh 29 Oktober 2018 yang menyatakan notis untuk memanggil persidangan haruslah mengikut prosidur yang telah ditetapkan, ” tegasnya lagi.

Tambah Amir Hashim lagi, terdapat bahagian yang tidak pernah mengadakan mesyuarat bahagian sejak ditubuhkan sehinggalah tarikh PAT baru-baru ini.

Oleh kerana itu katanya, dakwaan ini adalah suatu perkara yang serius dan harus diberi perhatian yang bersungguh-sungguh kerana ia turut melibatkan kedudukan parti dari segi undang-undang dan perlembagaan.