Lapan bulan tak dibayar gaji punca pemain bola sepak ini terpaksa berniaga air balang

Oleh KIM SYAZIE

Bekas pemain Sri Pahang FC, Mohammad Gopi Rizqi mendapat perhatian ramai selepas gambarnya yang sedang berniaga air balang di Pontian, Johor tular.

Pemain berusia 36 tahun itu juga tidak menyangka masih ramai mengenalinya, bahkan ada yang datang ke gerai untuk bergambar.

Bercerita lanjut tentang keputusannya untuk berniaga, Gopi memberitahu bahawa sudah lapan bulan dia tidak dibayar gaji oleh kelab bola sepak di ibu negara.

Ia sekali gus menyukarkan kehidupannya untuk menyara isteri dan dua orang anaknya.

Menurut Sinar Harian, perniagaan air balang tercetus selepas Gopi berbincang dengan isteri Nor Hidayah Roslan, 38, untuk melakukan sesuatu bagi mencari pendapatan buat dua orang anak berusia lima dan dua tahun.

“Dalam keadaan sekarang ini, sudah lapan bulan saya tidak mendapat gaji, memang sukar dan kami ambil keputusan untuk jual air balang di depan rumah.

“Setakat ini cuma air balang mata kucing dan jagung dijual selain ada sedikit kuih muih. Isteri turut membantu dengan menjual popia carbonara,” katanya.

Gopi memeluk Islam sejak enam tahun lalu, mengikuti jejak ahli keluarganya yang lebih awal memeluk agama itu, termasuk ibu saudaranya dan datuknya

“Sejak kecil saya ramai berkawan dengan orang Melayu. Saya dapat banyak petunjuk dan akhirnya membuat keputusan untuk memeluk Islam.

“Tidak sukar untuk saya menjalani ibadah puasa sebagai seorang Muslim. Alhamdulillah semua berjalan dengan baik,” katanya.

Baca juga: Dulu pemain lincah JDT, Gopi kini berniaga air balang di bazar Ramadan