Lapan calon BN Terengganu hanya miliki SPM, STPM

Lapan calon BN Terengganu hanya miliki SPM, STPM

Terdapat lapan daripada 40 calon BN Terengganu yang merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihan raya umum kali ini hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Paling ketara, Parlimen Dungun apabila tiada seorang pun daripada keempat-empat calon Dun di bawah P039 itu memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.

Pengajian tertinggi antara mereka berempat adalah calon Dun Rantau (N26), Wan Zaulkfli Wan Gati, 56 yang memegang STPM manakala calon Dun Sura (N27), Datuk Zainun Abu Bakar, 65, langsung tiada dinyatakan taraf pendidikannya.

Sementara itu, penyandang Dun Bukit Besi (N25) Roslee Daud, 58, yang akan mempertahankan kerusi dimenanginya pada pada pilihan raya umum lalu juga sekadar mempunyai SPM.

Kelayakan akademik sama juga dimiliki calon Dun Paka (N28), Tengku Hamzah Tengku Draman, 60, yang akan dipilih 31,222 pengundi pada 9 Mei ini.

Ketika PH menurunkan calon berintegriti dan berpendidikan tinggi, BN Terengganu seperti ketandusan calon berwibawa.

Semakan pada senarai penuh calon BN Terengganu yang diumumkan semalam turut mendapati calon Parlimen Marang (P37), Mohamad Nor Endut, 58, hanya memiliki pendidikan setakat Tingkatan Lima.

Dua calon Dun di bawah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Marang itu juga pemegang SPM iaitu Toh Puan Zaitun Mat Amin (N18 Bukit Payung) dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (N19 Ru Rendang).

Kedua-dua mereka berusia 61 tahun dan masing-masing merupakan Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang.

Seorang lagi calon Dun Wakaf Mempelam (N13), Salleh Othman, 59, yang merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Terengganu cuma memiliki SPM.

Kecuali N25, tujuh calon BN terbabit akan bertanding di kerusi yang disandang Pas.