Lapan KB Bersatu Perak mendakwa notis pembubaran jawatankuasa bahagian tidak sah

Lapan KB Bersatu Perak mendakwa notis pembubaran jawatankuasa bahagian tidak sah
Antara Ketua Bahagian yang turut hadir mempertikaikan pembubaran jawatankuasa bahagian Bersatu di Perak semalam.

Lapan Ketua Bahagian Bersatu Negeri Perak mendakwa notis pembubaran jawatankuasa bahagian yang diterima mereka adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan parti.

Sehubungan itu mereka mendesak supaya Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri dengan segera setelah gagal untuk menyelesaikan kemelut yang telah berpanjangan sejak tahun lepas lagi.

Menurut Setiausaha Perhubungan Bersatu Negeri Perak, Ibrahim Hanafiah, notis pembubaran bahagian yang diterima oleh kesemua lapan bahagian adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan parti sepertimana yang diperuntukkan melalui fasal 22.1.

Beliau berkata demikian ketika sidang media yang diadakan di Taiping semalam.

Malah katanya lagi, setakat ini antara lapan bahagian yang telah pun menerima notis pembubaran bertarikh 30 Januari 2019 adalah Bahagian Batu Gajah, Bagan Serai, Beruas, Gerik, Larut, Teluk Intan dan Lenggong serta Tapah.

“Antara alasan yang didakwa bagi membubarkan jawatankuasa bahagian ialah bahagian tidak aktif serta tidak berfungsi.

“Manakala jawatankuasa yang didakwa dibubarkan juga tidak pernah diberi peluang untuk menjawab setiap pertuduhan oleh Perhubungan Negeri.

“Kami juga tidak dapat bersuara dan menzahirkan segala permasalahan setelah hanya sekali mesyuarat perhubungan diadakan setakat ini, ” ujarnya lagi.

Manakala Ketua Bahagian Bukit Gantang, Datuk Shaharudin Rashid pula berkata, pembubaran tersebut berat sebelah dan tidak adil serta berniat jahat.

“Banyak jawatankuasa bahagian tidak dipedulikan dan tidak diberi perhatian oleh Perhubungan Negeri.

“Lebih malang lagi apabila kita dibiarkan untuk bergerak sendiri tanpa hala tuju umpama ayam kehilangan ibu.

“Sekiranya Pengerusi Perhubungan yang juga Menteri Besar dikekalkan maka banyak lagi masalah akan timbul tanpa pembelaan, ” tegasnya.

Mereka juga mendakwa kesukaran untuk mendapat dana bagi mengendalikan pejabat bahagian masing-masing serta urusan pentadbiran bahagian dari Perhubungan Negeri.

Oleh kerana itu, kesemua ketua bahagian terlibat menuntut supaya Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengambil tindakan drastik dan serius mengenai kemelut yang sedang berlaku di negeri Perak.

Tambah mereka lagi, seandainya konflik dalaman ini tidak dapat diselesaikan, dibimbangi ia akan memberi impak yang amat besar kepada Bersatu di negeri Perak dan juga Pusat.