Malaysia Dateline

Lapan kluster masih aktif di Sarawak

Sebanyak lapan kluster Covid-19 masih lagi aktif di Sarawak termasuk yang baharu Kluster Rakut yang melibatkan Daerah Miri, semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, selain Kluster Rakut di Miri, antara kluster yang masih aktif ialah Kluster Bukit Sekubong di Sebauh Kluster Jelita (Miri), Kluster Pasai (Sibu), Kluster Keranji Tabuan (Kuching), Kluster Bah Sayap (Miri), Kluster Stutong (Kuching) dan Kluster Mador (Meradong).

Kata JPBN, indeks kes kepada Kluster Rakut adalah kes ke-1,740 yang dikesan melalui saringan kontak kepada kes positif pada 12 Januari 2021.

“Berikutan pengesanan secara aktif kontak-kontak kepada kes ini, sembilan lagi kes telah dikesan termasuk enam kes baharu pada hari ini.

“Setakat 19 Januari 2021(semalam), seramai 33 individu telah disaring yang mana 10 kes dikesan positif termasuk kes indeks, tujuh negatif dan 16 masih menunggu keputusan,” jelas JPBN.

JPBN turut memberitahu, Daerah Kanowit telah bertukar ke status Kuning daripada Jingga setelah sejumlah 29 kes dikesan melibatkan kes jangkitan tempatan di daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Tambah JPBN, Daerah Subis di Bahagian Miri dan Belaga di Bahagian Kapit pula bertukar status dari Hijau kepada status Kuning selepas sejumlah tiga kes baharu dikesan melibatkan kes jangkitan tempatan dikesan di daerah ini dalam tempoh 14 hari lalu.

“Daerah lain iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Beluru kekal berstatus Merah dengan sejumlah 905 kes jangkitan tempatan dilaporkan di empat daerah ini dalam tempoh 14 hari lepas.

“Sementara, Daerah Sebauh turut kekal berstatus Jingga dengan 27 kes jangkitan tempatan.

“Bagi Daerah Betong, Meradong, Julau, Kapit, Simunjan, Asajaya, Dalat, Selangau, Sebauh, Samarahan, Sri Aman, Bukit Mabong, Bintulu, Limbang dan Kanowit kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan 79 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas,” ujar JPBN.

Bagaimanapun, kata JPBN lagi 17 daerah lain adalah kekal berstatus Hijau.