Lapan laporan polis diterima di Selangor berhubung dakwaan pertemuan babitkan bekas ahli PKM

Lapan laporan polis diterima di Selangor berhubung dakwaan pertemuan babitkan bekas ahli PKM

Polis Selangor menerima lapan laporan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang pada Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua laporan yang diterima setakat semalam diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan mengenai isu itu dijalankan oleh Bukit Aman berikutan terdapat juga laporan berhubung pertemuan itu daripada beberapa kontinjen polis lain di seluruh negara.

“Siasatan lanjut mengenai isu itu sedang dijalankan (oleh Bukit Aman) mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program ‘Neighbourhood Watch’ Polis Selangor Siri 2/2019 di Wisma Natural Health Farm (NHF) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada penganjur pertemuan itu telah dipanggil untuk memberikan keterangan, Noor Azam berkata ia masih dalam siasatan Bukit Aman dan tidak menolak kemungkinan orang ramai yang hadir pada majlis itu juga akan direkodkan keterangan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan polis segera menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli PKM itu kerana perkara yang dikhuatiri mengancam keamanan negara tidak boleh dibiarkan berlaku.

Pada Ahad lepas, media melaporkan, kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM, antara lain dikatakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Dis, 1989.– BERNAMA