Malaysia Dateline

Lapan negeri sedia bersidang, tiada pun yang cuba bahas frasa ‘secepat mungkin’

Lapan buah negeri dilaporkan akan mengadakan sidang Dewan Undangan (Dun) mereka berikutan pendirian Raja-Raja yang menitahkan agar Dewan-dewan Undangan Negeri perlu bersidang secepat mungkin.

Bagaimanapun veteran Umno, Tan Sri Shahir Samad berkata, di peringkat pusat dan tiga lagi negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan, masih lagi bersandar pada falsafah politik bahawa dewan perundangan ditakluki oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar.

“Inilah hasil dari falsafah politik ‘Scheme of Things’ yang dijadikan asas politik Perikatan Nasional,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, berbanding dengan tiga buah negeri itu, lapan negeri yang lain langsung tidak membahaskan maksud frasa secepat mungkin seperti yang dilakukan di peringkat Persekutuan.

Malah, tiada pembentukan jawatankuasa untuk teliti bagaimana Dun boleh bersidang secepat mungkin.

“(Negeri-negeri) terus sambut secara ikhlas dan teratur pendirian Raja-Raja Pemerintah mereka. Kecuali bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terenganu.

“Di lapan negeri ini langsung tidak timbul sebarang pra-sangka terhadap kebijaksanaan Raja-Raja Pemerintah yang menyerahkan peranan menyatukan rakyat secara langsung kepada wakil-wakil rakyat yang telah dipilih pada PRU-15,” katanya lagi.