Lapan pasukan bersaing merebut Piala Tuanku 2019

Lapan pasukan bersaing merebut Piala Tuanku 2019

Lapan pasukan menyertai pertandingan bola sepak Piala Tuanku 2019 sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-71.

Setiausaha Pertandingan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Nik Shazly Anuar berkata juara bertahan pasukan Kuala Pilah berada dalam Kumpulan A bersama Port Dickson, Jempol dan Tampin, manakala saingan Kumpulan B adalah antara pasukan Gemas, Seremban, Jelebu dan Rembau.

“Pertandingan antara daerah akan bermula Sabtu ini, manakala perlawanan peringkat separuh akhir pada 2 Feb dan perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 16 Feb,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pertandingan tahunan anjuran PBNS ini menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara, manakala naib johan RM5,000.

“Saya menjangkakan pertandingan tahun ini lebih sengit berpandukan persiapan setiap pasukan yang menampilkan ramai pemain muda berbakat selain latihan intensif yang giat dijalankan pasukan masing-masing. Malah, tawaran hadiah wang tunai dijangka menjadi pembakar semangat buat setiap pasukan untuk memperagakan aksi mantap bagi memburu kemenangan.

“Apapun kejohanan ini bukan sekadar memeriahkan sambutan Hari Keputeraan baginda Tuanku tetapi landasan mencungkil bakat baharu dan mengetengahkan pemain untuk kemajuan bola sepak negeri,” katanya.

Sementara itu, Nik Shazly berkata perlawanan akhir Liga Piala Presiden PBNS 2018 antara pasukan Penjara FC dan Kelab Sukan dan Rekreasi SAINS akan diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini  mulai 8.45 malam.

“Hadiah kepada pemenang dijangka disampaikan oleh Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang juga Presiden PBNS,” katanya.

— BERNAMA