Malaysia Dateline

Lapan positif Covid-19 selepas 632 atlet, pegawai jalani ujian calitan

Seramai lapan individu melibatkan tujuh atlet dan seorang jurulatih disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian calitan (swab) di pusat latihan masing-masing selepas kembali dari cuti akhir tahun.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Shapawi Ismail berkata, kesemua mereka terbabit dipercayai mendapat jangkitan semasa bercuti di kampung atau rumah masing-masing.

Menurutnya, hanya satu peratus iaitu lapan individu daripada 632 atlet dan pegawai yang telah menjalani ujian calitan didapati positif ujian itu yang diselaraskan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Mereka yang didapati positif diasingkan dan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua lapan individu itu daripada olahraga (dua), tenis berkerusi roda (dua), bola keranjang kerusi roda (dua), tenpin boling cacat pendengaran (satu), manakala pegawai pengiring sukan boccia (satu).

Katanya, MSN juga juga telah mengasingkan atlet dan pegawai yang berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan mereka yang didapati positif Covid-19 dan akan menjalani ujian calitan pada hari keempat.

“Jika keputusan negatif tetapi mempunyai simptom, mereka perlu menjalani proses kuarantin sehingga hari ke-10 dan ujian akan diadakan pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas dari jangkitan,” katanya.

Dalam pada itu, Shapawi memberitahu kem latihan berpusat MSN akan diteruskan secara ‘quarantine-based approach’ selama dua minggu pertama.

Pendekatan itu, katanya, tidak membenarkan atlet serta jurulatih keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal.

“Arahan ini akan dikaji semula selepas dua minggu melihat kepada perkembangan penularan jangkitan Covid-19. Kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih sahaja.

“Pengawalan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain dari atlet dan jurulatih adalah tidak dibenarkan.

“Proses sanitasi akan dilaksanakan pada setiap pusat latihan dan penginapan setiap seminggu sekali. Perkara ini akan dilaksanakan secara serta merta.

“Langkah-langkah ini diambil bagi pematuhan semua SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan komitmen MSN dalam memastikan atlet negara berada dalam kesihatan dan kondisi terbaik bagi menjalani latihan sukan masing-masing,” katanya.

Menurut Shapawi, hal tersebut akan dikuatkuasakan kepada semua pusat latihan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kompleks MSN Taman Keramat, Kompleks Pelayaran Langkawi, Akademi Badminton Malaysia, Velodrom Nasional Nilai dan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari.

Kelmarin, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann didapati positif Covid-19 setelah menjalani ujian calitan sebagai persediaan ke Jelajah Asia Asian di Thailand.