Seramai lapan rakyat Malaysia ditahan di Korea Selatan kerana bekerja secara haram sebagai penunggang perkhidmatan penghantaran di negara berkenaan.
Difahamkan, bilangan warga asing yang ditangkap bekerja secara haram sebagai penunggang perkhidmatan penghantaran di Korea Selatan telah melonjak lebih 51 peratus pada tahun ini.
Perkara ini dipercayai berpunca daripada masalah kekurangan pekerja dalam sektor tersebut hingga membuatkan warga asing termasuklah pendatang tanpa izin dan pelajar antarabangsa mengisi jurang dengan bekerja secara haram.
Berdasarkan data Kementerian Kehakiman Korea Selatan, seramai 177 warga asing telah ditangkap bekerja secara haram di dalam sektor perkhidmatan penghantaran termasuk kurier setakat Ogos tahun ini, lapor The Korea Times.
Penangkapan ratusan warga asing yang bekerja secara haram ini terdiri daripada pelbagai negara dan ia mewakili peningkatan sebanyak 51.3 peratus berbanding tahun lepas.
Menerusi data tersebut, warga Vietnam menyumbang kepada 80.3 peratus daripada 117 kes terbanyak dengan jumlah 94 orang pada 2023 berbanding warga Uzbekistan yang meningkat dari lapan tahun lalu kepada 53 kes tahun ini.
Selain itu, pekerja haram dari Malaysia dan Pakistan dikenal pasti buat kali pertama oleh kementerian berkenaan dengan melibatkan penahanan masing-masing seramai lapan dan lima orang.
Kementerian Kehakiman Korea Selatan mengaitkan masalah ini dengan peningkatan permintaan pekerja penghantaran, namun warga tempatan kurang berminat untuk bekerja dalam sektor tersebut kerana gaji rendah dan beban kerja tinggi serta berisiko.
Di bawah undang-undang semasa, hanya warganegara asing yang memegang visa jenis F-2, F-5 atau F-6 dibenarkan bekerja dalam sektor perkhidmatan penghantaran.
Walau bagaimanapun, ramai warga asing di Korea Selatan terutamanya pelajar antarabangsa lebih memilih mencari pekerjaan dalam bidang penghantaran untuk meraih pendapatan.
Baca juga: Syarikat pengendali platform media sosial didakwa buang 700 pekerja di Malaysia?