Malaysia Dateline

Lapan sebab mengapa perlu bantah pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Cadangan penyahwartaan 930.93 hektar dari 957.63 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan pembangunan bercampur sepertimana yang dimaklumkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melalui penyiaran notis penyiasatan awam dalam media akhbar tempatan pada 5 Februari lalu bakal memberikan kesan yang buruk kepada alam sekitar.

Penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dibimbangi akan memusnahkan ekologi kepada lembangan Sungai Langat dan Sungai Klang.

Apakah kesan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU)?

1. Penyahwartaan HSKLU akan mengabaikan hak masyarakat Orang Asli yang telah tinggal lebih dari 134 tahun (sekurang-kurangnya sejak tahun 1886). Kerajaan Negeri perlu adil dan saksama bagi melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan;

2. Pembukaan kawasan hutan bagi tujuan pembangunan bercampur akan menjejaskan rangkaian ekologi, mengakibatkan kehilangan habitat hidupan liar termasuk flora, dan kepupusan akuatik;

3. Meningkatkan risiko kebakaran tanah gambut di HSKLU dan kawasan sekitarnya;

4. Meningkatkan risiko penurunan paras tanah dan banjir di kawasan tersebut;

5. Meningkatkan risiko banjir atau kekurangan air. Ini akan memusnahkan tanaman kelapa sawit yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli;

6. Gangguan ekologi kepada lembangan Sungai Langat dan Sungai Klang;

7. Pembangunan di kawasan HSKLU (termasuk penebangan pokok, pengorekan tanah gambut dan pembinaan saliran) membawa kepada pelepasan 5.5 juta tan karbon dioksida (CO2) yang menyumbang kepada pemanasan tempatan dan global serta masalah perubahan iklim;

8. Tiada lagi kawasan penting untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan sebagaimana satu hub kepentingan sosio-ekonomi setempat.

Cadangan pemansuhan sehingga 97 peratus HSKLU turut menafikan kehidupan masyarakat Orang Asli.

Daerah Kuala Langat juga meliputi 85,770 hektar yang menampung bilangan penduduk berjumlah 322,400 orang. Hanya 9% keluasan di kawasan Daerah Kuala Langat adalah kawasan berhutan termasuk HSKLU.

Memandangkan Kerajaan Negeri Selangor komited untuk meluaskan lagi kawasan HSK, maka HSKLU wajar dikekalkan. HSKLU adalah sumber khazanah yang penting kepada lebih dari 2,000 masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan yang masih bergantung dengannya.

HSKLU adalah kawasan penting bagi tujuan pemuliharaan kepelbagaian biologi dengan menyokong beberapa kehidupan spesies jarang ditemui seperti Beruang Matahari (Helarctos malayanus), Tupai Terbang Terkecil Selangor (Petaurillus kinlochii) dan Ikan Laga Merah Langat (Betta livida).

Selain itu, HSKLU juga berperanan sebagai habitat kepada beberapa spesies Dipterokarp yang mempunyai status “Terancam Kritikal” dan “Terancam” (terdapat pada Senarai Merah Tumbuhan Terancam di Malaysia) seperti Meranti Bunga (Shorea teysmanniana), Meranti Bakau (Shorea uliginosa) dan Mersawa Paya (Anisoptera marginata).

Oleh itu, orang awam yang prihatin dan ingin membantah penyahwartaan hutan simpan ini, sila turunkan tandatangan anda di petisyen kami di:

https://www.change.org/p/dato-menteri-besar-selangor-selamatkan-hutan-simpan-kuala-langat-utara?fbclid=IwAR3eotWeD7Mc6OVX0XMxFng1QMRDu7niHEFeY0cUwQGaCaJhPmJNb3VJM48

 

Habitat bagi spesies Tupai Terbang Terkecil Selangor (Petaurillus kinlochii) musnah jika cadangan pemansuhan HSKLU diteruskan.