Siapa sangka pada tahun yang serba mencabar, seorang peniaga kedai makan di Machang, Kelantan ini masih lagi mengekalkan harga makanannya pada RM1.
Aminah Awang, 56, berkata, dia sudah berniaga dengan harga sedemikian sejak lapan tahun lalu untuk berkongsi rezeki dengan orang ramak.
Lapor BH, matlamat utama Aminah menjual pada harga itu adalah bagi memberi lebih pilihan kepada pembeli, selain membantu mereka yang kurang berkemampuan.
“Antara makanan dijual pada harga RM1 ialah mi dan kuetiau sup, nasi air, air batu campur (ABC), sosej, lokcing dan beberapa jenis minuman.
“Selain itu, saya turut menambah beberapa menu lain yang dijual pada harga RM2 hingga RM3 seperti mi celup perut (RM3), kerabu maggi dan maggi kari masing-masing dijual pada harga RM2.50,” katanya seperti dilapor.
Beliau berkata, ada antara pelanggannya meminta supaya menaikkan harga makanan, namun dia tidak sampai hati disebabkan kedai makan yang diusahakan di pekarangan rumahnya itu menjadi tumpuan pelajar sekolah dan juga penuntut universiti.
“Alhamdulillah, walaupun dijual pada harga RM1, namun masih ada untung walaupun sedikit,” katanya.
Ibu kepada empat anak berusia 19 hingga 29 tahun itu berkata, pelanggan yang datang kebanyakan penduduk sekitar termasuk beberapa kampung berhampiran dan hampir setiap hari ada saja pelanggan dari luar daerah yang datang menyebabkan dia tidak menang tangan.
“Mujur saya dibantu dua orang anak, Ku Nur Ainna Ariesya Ku Anuar, 21, dan Ku Nur Ainna Atiera, 29. Kedai ini dibuka setiap Sabtu hingga Khamis bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam.
“Saya berasa sangat gembira apabila melihat setiap pelanggan yang datang ke kedai dapat menikmati hidangan pada harga RM1 dengan kuantiti banyak dan mengenyangkan,” katanya.
Baca juga: Baru tahu goreng ikan bilis pun ada teknik, ikut panduan Rizal Tomyam ini – “Tambah 1 bahan sahaja!”