Lapan tahun Pulau Pinang prihatin dengan sekolah agama

Lapan tahun Pulau Pinang prihatin dengan sekolah agama

Kerajaan negeri Pulau Pinang terbukti secara konsisten memberi bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) pelbagai kategori ketika terdapat parti komponen BN masih bersikap prejudis dengan institusi pendidikan itu.

Ketua Pemuda Amanah Pulau Pinang, Saifullah Nasir berkata, kesemua SAR terbabit menerima peruntukan daripada kerajaan negeri sekaligus membuktikan pendidikan bagi kepentingan masyarakat Islam tidak pernah dipinggirkan.

“Tahun lepas adalah tahun kelapan kerajaan negeri beri bantuan kepada sekolah agama. Ini merangkumi SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan), SMAR (Sekolah Menengah Agama Rakyat), TADIS (Tadika Islam), Maahad Tahfiz Al-Quran dan Pondok Pengajian Islam.

“Kalau konsisten lapan tahun beri bantuan boleh dikira prihatin tentang sekolah agama. Dasar begini bukti kerajaan negeri tidak menyisihkan sesiapa dalam soal pendidikan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas gesaan Naib Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai baru-baru ini supaya dasar sekolah agama yang dibiayai kerajaan dikaji semula kerana kononnya pelajar sekolah itu cenderung mempunyai pandangan ekstremis, beliau berpendapat kenyataan tersebut begitu bersifat invidualistik.

“Hak pendidikan bukan hak orang Islam sahaja, tetapi setiap manusia. Perpecahan kaum, ironinya boleh diselesaikan dengan pendidikan. Maka pelaburan peruntukan pada pendidikan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu jurang dan perpecahan kaum.

“Sebabnya orang yang berpendidikan tinggi lazimnya bertolak-ansur dan empati pada bangsa dan agama lain. Sikap keterbukaan ini universal, tidak hanya pada Islam,” jelas Saifullah lagi.

Terdahulu, Dominic yang turut mendakwa sekolah agama menjadi ancaman sebenar perpaduan di negara ini dan bukannya sekolah vernakular kemudiannya menarik balik dan memohon maaf terhadap kenyataannya itu ekoran kecaman banyak pihak termasuk pemimpin politik dan NGO.

Sejak 2009, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM45 juta tidak termasuk tanah yang diberi secara percuma untuk pembangunan SAR.

Pada November tahun lalu, peruntukan tambahan bernilai RM1.75 juta kepada 178 SAR pelbagai kategori di negeri itu disampaikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Jumlah tersebut adalah tambahan kepada dana dengan nilai sama yang telah diperuntukkan bagi tahun 2016.

TAGS