Lapan terma rujukan jadi teras siasatan Wang Kelian, kata Pengerusi RCI

Lapan terma  rujukan jadi teras siasatan Wang Kelian, kata Pengerusi RCI
Tun Ariffin Zakaria

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis menggariskan lapan terma rujukan dalam siasatan tersebut.

Pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria berkata pihaknya akan meneliti semua dokumen dan bukti serta menyiasat berkaitan dengan kes tersebut.

“Kami juga akan menyiasat prosedur semasa dan selepas kejadian yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Menjalankan siasatan terhadap pegawai-pegawai penyiasat, saksi-saksi dan mana-mana individu yang difikirkan perlu,” katanya pada ucapan pembukaan prosiding yang berlangsung di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bermula hari ini, lapor Astroawani.

Selain itu, Arifin yang juga bekas Ketua Hakim Negara berkata pihaknya juga akan menyiasat sama ada penambahbaikan telah dilaksanakan terhadap prosedur-prosedur penguatkuasaan selepas kejadian.

Malah, katanya RCI akan turut mengenal pasti implikasi terhadap negara selepas kejadian selain mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang boleh diambil oleh kerajaan.

RCI itu juga akan mengemukakan laporan siasatan kepada Yang DiPertuan Agong selepas laporan lengkap disediakan.

Beliau pada masa sama menyeru mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

Arifin yang mengetuai prosiding itu dibantu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dan lima ahli RCI yang lain.

Mereka ialah bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail; bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharudddin; bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman; bekas Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.