Malaysia Dateline

Lapan warga China dikuarantin di Johor Bahru

 

Lapan warga China yang tiba bersama-sama seorang lelaki yang diuji positif koronavirus di Singapura telah memasuki Malaysia pada Khamis.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye memberitahu, mereka telah dikuarantin di sebuah hotel di Johor Bahru untuk pemantauan lanjut.

Jelasnya, mereka terbabit bukanlah pesakit tetapi akan dipantau sekurang-kurangnya seminggu.

“Mereka sedang dipantau dan diasingkan di sebuah hotel untuk seminggu. Mereka bukanlah pesakit, namun dipantau secara rapat untuk memastikan sama ada ada simptom koronavirus kerana mereka telah bersama-sama dengan seorang lelaki yang telah disahkan positif di Singapura,” katanya dipetik Astro Awani.

Dr Lee ditemui selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini.

Semalam, seorang warga China di Singapura diuji positif sekali gus menjadi mangsa pertama wabak koronavirus di republik itu.

Lelaki berusia 66 tahun yang berasal dari Wuhan, China itu tiba di Singapura bersama sembilan rakan lain, pada 20 Januari lalu dan menginap di Resort Shangril-La Rasa Sentosa.

Laporan itu turut menyebut lapan individu dari kumpulan yang tiba bersamanya ke Singapura sudah pun berangkat pulang dari negara tersebut dan kementerian sudah menghubungi pihak berkuasa negara yang mereka tujui.

Dalam perkembangan yang dipercayai berpunca dari sebuah pasar haiwan dan makanan laut di Wuhan, China, republik itu sudah mengasingkan kira-kira 20 juta penduduk di Wuhan dan bandar berdekatan.

Setakat ini, 28 orang dilapor sudah terbunuh akibat serangan virus yang menunjukkan gejala demam serta masalah pernafasan itu.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional China berkata, terdapat 259 kes baharu dilaporkan berlaku di seluruh negara itu.

Jumlah kes koronavirus di China sudah melonjak kepada 830 kes. Seramai 177 mangsa daripadanya dilapor berada dalam keadaan kritikal.

Sifat virus ini hampir serupa dengan SARS Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Hampir 650 orang terbunuh di China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003 akibat SARS.

Penularan wabak rentas negara menyaksikan virus berbahaya itu sudah tersebar sehingga ke Amerika Syarikat.

Singapura pula antara negara luar dari China yang terjejas teruk apabila sudah mengalami 33 kematian akibat SARS.

Singapura juga mengesahkan kes pertama coronavirus yang berasal dari Wuhan itu dan mengesahkan satu lagi kes diuji positif pada peringkat awal.

Kelmarin, Thailand sudah mengesan empat kes koronavirus termasuk seorang wanita warga tempatan berusia 73 tahun yang pernah melawat Wuhan.

South China Morning Post hari ini melaporkan terdapat 875 kes virus Wuhan dengan 26 kematian.

Ini diikuti 4 kes di Thailand, Singapura (3), Hong Kong (2), Macau (2), Korea Selatan (2), Jepun (2), Vietnam (2), Taiwan dan Amerika Syarikat masing-masing satu kes.