Malaysia Dateline

Hasnul Zulkarnain Zambry

Lapangan terbang: Apa janji MB Perak?

Pemuda Amanah Perak mahu Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abd Kadir menyatakan perkembangan mengenai cadangan untuk membina Terminal Lapangan Terbang Utara (UMAT) yang terkandung dalam Ringkasan Eksekutif Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2020.

Ketua Pemudanya Hasnul Zulkarnain berkata, walaupun pihaknya menyokong cadangan tersebut, tetapi Zambry juga perlu memaklumkan sama ada Kerajaan Persekutuan bersetuju atau tidak untuk meluluskan projek tersebut berdasarkan keutamaan dan juga kepentingan Kerajaan Negeri.

“Sehingga kini berapa peratuskah kejayaan cadangan semenjak tahun 2010 tersebut sehingga sekarang ini?

“Datuk Seri Zambry yakinkah bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima cadangan Draf Rancangan tersebut atau ianya bakal ‘dibangkul sampahkan’ selepas berlalunya tahun 2020 nanti?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, UMAT telah dicadangkan semenjak pada tahun 2010 lagi yang dicadangkan dibina di Lembah Bariah, Bagan Serai.

Menurut Hasnul, rakyat juga tidak lupa bahawa terdapat satu lagi projek baharu Lapangan Terbang Antarabangsa di Kulim Bandar Baharu yang begitu hampir dan tidak sampai 100 kilometer ataupun lebih kurang sejam perjalanan sahaja.

Pada 10 Julai lalu, Zambry berkata, Perak akan membina sebuah lapangan terbang baharu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan dan industri di seluruh negeri

Beliau sewaktu bersiaran secara langsung selama dua jam dalam segmen Selamat Pagi Menteri Besar di Radio Perak FM berkata, kerajaan negeri sudah membuat perbincangan awal, perincian serta penelitian berhubung perkara itu.

“Apabila (lapangan terbang) sudah pasti, saya akan umumkan, apa yang boleh saya sebutkan ia tidak jauh dari Ipoh dan tidak berhampiran dengan lapangan terbang yang sibuk seperti lapangan terbang Pulau Pinang.

“Kita telah mengenal pasti tempat itu cuma memerlukan beberapa penelitian termasuk melalui kerjasama pihak Kementerian Pengangkutan dan juga Jabatan Penerbangan Awam. Kita berharap ia mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.