Malaysia Dateline

Lapangan terbang India rancang pasang mesin pengimbas seluruh badan

Lapangan-lapangan terbang di India bercadang memasang mesin pengimbas seluruh badan tahun depan untuk mempercepatkan proses saringan penumpang, namun langkah itu dijangka mencetuskan kebimbangan dari segi budaya dan privasi.

India sudah menjalankan ujian ke atas mesin pengimbasnya dan menambah baik perisian sebelum menimbang isu budaya tempatan seperti wanita yang memakai barang kemas dan sari, serta sulaman logam yang terdapat pada pakaian rakyat India.

“Kami akan mengeluarkan spesifikasi dan peraturan untuk mesin pengimbas badan gelombang milimeter pasif dan aktif menjelang awal tahun depan. Ini akan dilakukan selepas ujian percubaan tersebut berjaya dilaksanakan,” kata Ketua Pengarah Biro Keselamatan Penerbangan Awam, Kumar Rajesh Chandra yang dipetik laporan media tempatan pada Jumaat.

Sebelum ini Central Industrial Security Force (CISF) yang menguruskan keselamatan di lapangan terbang utama di India dan kemudahan infrastruktur utama, mencari kaedah bagi menambah baik mesin pengimbas tersebut.

Semasa ujian tahun lepas, mesin pengimbas tersebut menyebabkan penggera keselamatan berbunyi apabila wanita yang memakai sari dengan banyak lipatan pada pakaian mereka melalui mesin itu.

Mesin itu dikatakan dikonfigurasi untuk menghasilkan bentuk badan generik pada skrin paparan berbanding imej penumpang tanpa pakaian.

Lapangan terbang di India membuat pelaburan yang besar ke atas tenaga manusia dan teknologi bagi menambah baik pemeriksaan penumpang ketika trafik udara meningkat.

Ketua CISF Rajesh Ranjan berkata baru-baru ini kakitangannya berusaha menjadikan keselamatan di lapangan terbang tanpa sebarang kecacatan.

“Terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditangani dalam mekanisme keselamatan sedia ada di beberapa lapangan terbang,” katanya pada seminar keselamatan penerbangan.

— BERNAMA