Malaysia Dateline

Lapangan Terbang Sandakan sedia hadapi latihan kecemasan skala besar

Lapangan Terbang Sandakan bersedia menghadapi latihan kecemasan berskala besar tahun hadapan selepas menjayakan latihan berskala kecil di sini hari ini.

Pengurusnya Suhaimi Abdul Sani berkata beliau berpuas hati dengan latihan yang diadakan pada hari ini dengan ketangkasan agensi terlibat untuk memberi bantuan keselamatan kepada ‘mangsa’ senario latihan.

“Senario latihan ini melibatkan sebuah helikopter dinamakan ‘Guardian Air’, yang membawa empat penumpang, telah menghadapi kecemasan semasa pendaratan lalu terhempas.

“Seorang cedera parah dihantar ke hospital dengan segera, manakala yang lain cedera ringan dan ketangkasan para medik diuji untuk memberi bantuan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital,” katanya kepada pemberita selepas latihan itu.

Suhaimi berkata seramai 120 peserta terlibat dalam latihan itu terdiri daripada agensi seperti Lapangan Terbang Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Hospital Duchess of Kent.

Beliau berkata latihan kecemasan berskala besar akan melibatkan sekurang-kurangnya 30 penumpang dan lebih banyak agensi bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan sebenar.

— BERNAMA