Malaysia Dateline

Lapisan ais terbesar dunia dibimbangi naikkan paras air laut

Lapisan ais terbesar di dunia berisiko menyebabkan paras air laut meningkat sekitar satu hingga tiga meter dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

Para penyelidik di Durham University memberitahu situasi tersebut boleh berlaku jika suhu global meningkat lebih dua darjah Celsius.

Pencairan Lapisan Ais Antartika Timur (EAIS) boleh menyebabkan hampir setengah meter kenaikan paras laut menjelang 2100 jika pelepasan gas rumah hijau global berada pada tahap tinggi.

Analisis kumpulan penyelidik itu diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature, lapor AFP dipetik Utusan Online.

Jika pelepasan kekal tinggi melebihi tahap itu, maka EAIS berisiko menyumbang peningkatan sekitar satu hingga tiga meter paras laut menjelang 2300 serta dua hingga lima meter pada 2500.

Bagaimanapun, jika pelepasan gas rumah hijau berkurangan secara mendadak, EAIS dijangka menyumbang kira-kira dua sentimeter (cm) peningkatan paras laut menjelang 2100.

Angka ini menunjukkan jauh lebih rendah berbanding pencairan ais di Greenland dan Antartika Barat.

“Kesimpulan penting daripada analisis ini adalah nasib EAIS kini berada di tangan kita.

“Setakat ini, lapisan ais ini adalah yang terbesar di Bumi, malah bersamaan 52 meter paras laut.

“Jadi adalah sangat penting untuk tidak menjejaskannya,” kata pengarang utama kajian, Chris Stokes.

Kumpulan penyelidik yang membabitkan saintis dari Britain, Australia, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) menganalisis bagaimana lapisan ais bertindak balas terhadap tempoh suhu panas ketika membuat ramalan.

Para penyelidik menjalankan simulasi komputer untuk memodelkan kesan tahap pelepasan gas rumah hijau yang berbeza dan suhu pada lapisan ais menjelang tahun 2100, 2300 dan 2500.