Malaysia Dateline

Lapor isu jangkitan Covid-19 di Hotel Primula bukan politik, ia tanggungjawab

AMANAH Terengganu kesal apabila ada pihak tertentu telah menuduh mereka mempolitikan isu jangkitan COVID-19 di hotel milik kerajaan negeri sehingga menyebabkan Hotel Primula Beach diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata, mereka menjalankan tanggungjawab apabila menerima banyak rayuan dan rungutan dari orang ramai serta kakitangan hotel yang rasa tertekan tanpa menerima perhatian yang sepatutnya.

“Kenyataan kami tidak diberi perhatian oleh pihak berkenaan sehingga kami perlu menulis secara rasmi kepada jabatan kesihatan Daerah Kuala Terengganu yang telah bertindak cekap.

“Tahniah dan terima kasih kepada pihak KKM dan Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Terengganu yang bertindak cekap dan pantas sambil menghadapi cabaran serta risiko ke atas diri sendiri selama ini berhadapan dengan wabak COVID 19,” katanya.

KKM telah pun mengistiharkan jangkitan pekerja Primula Hotel, kepunyaan kerajaan Terengganu, sebagai Kluster Jalan Persinggahan di Kuala Terengganu.

Hotel berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari bermula 5  sehingga 18 September setelah kurang dari 24 jam selepas aduan dibuat.

Beliau berkata, dari 16 Ogos sehingga 5 September hotel terbabit masih menerima tetamu dengan yang sedia ada menginap termasuk pekerja “off shore” yang menginap beberapa hari sebelum ke pelantar minyak atau kapal.

“Potensi kluster kedua atau ketiga mungkin berlaku akibat lambat bertindak.

“Sejumlah 35 jangkitan orang dari 109 keseluruhan pekerja tetap hotel atau 32 % peratus adalah angka statistik yang tinggi yang tidak patut berlaku sekiranya hotel ditutup,” kata beliau.

Kerajaan Negeri Terengganu sebagai pemilik Hotel tersebut katanya perlu memastikan pihak yang mengurus bangunan milik kerajaan tidak mengambil mudah risiko kepada pekerja dan pelawat.