Lapor kata paksa Tun letak jawatan, Khalid Samad akan saman FMT
Berita yang disiarkan oleh FMT yang mendakwa Khalid menuntut Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan padahal ketika itu Tun telah meletakkan jawatan sebagai PM dan dilantik sebagai PM Interim.

Lapor kata paksa Tun letak jawatan, Khalid Samad akan saman FMT

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad akan menyaman laman web Free Malaysia Today (FMT) ekoran tindakannya memfitnah apabila mendakwa beliau menuntut Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya.

“Minta maaflah, saya terpaksa menyaman FMT kerana memfitnah saya dan cuba melagakan saya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan PPBM apabila mendakwa saya mendesak Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan.

“Ia satu tuduhan yang serius dari FMT dan ini bukan pertama kali. Saya akan meminta peguam saya untuk menghantar surat,” kata Khalid dalam rancangan FB Live di Jom Channel malam ini.

Menurut Khalid, apa yang dilaporkan oleh FMT berdasarkan kenyataan beliau melalui Twitter tidak lojik sama sekali.

“Saya menulis, Tun letak jawatan. Dijadikan PM interim…. Tetapi FMT dalam berita Bahasa Inggerisnya menulis “Tun must resign. Be the interim prime minister…

“Bila yang saya paksa Tun letak jawatannya. Dia dah letak jawatan pada ketika itu dan kemudian dilantik sebagai PM interim,” kata Khalid dalam siaran secara langsung TV internet itu.

Dakwaan FMT ini didakwa mempunyai niat tidak baik apabila memfitnah beliau dalam suasana yang kritikal ketika kerajaan telah dimansuhkan dan masing-masing sedang berlumba-lumba untuk menubuhkan kerajaan.