Malaysia Dateline

Lapor kepada SPRM jika ada pihak cuba beri rasuah, kata Aminuddin

Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan teragak-agak untuk melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat sebarang cubaan untuk menawarkan rasuah kepada pemimpin dan penjawat awam di negeri ini.

Justeru, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata mana-mana pihak yang berurusan dengan kepimpinan kerajaan dan penjawat awam di negeri ini, agar tidak sekali-kali cuba menawarkan sebarang bentuk rasuah untuk apa tujuan sekalipun.

“Hari ini kita sudah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah saya lafazkan bersama seluruh Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk pegawai kewangan dan pegawai undang-undang.

“Ikrar ini kepada rakyat yang kita akan pastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik, ini amanah cukup besar dan kita tahu pentadbiran negeri perlukan integriti tinggi bukan sahaja kepimpinan di peringkat negeri tetapi seluruh penjawat awam di negeri ini.

 “Justeru, kita akan berikan segala kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada SPRM jika berlaku apa-apa tidak elok dalam kerajaan negeri. Pemberi rasuah juga saya nasihatkan berhentilah dan berniagalah secara jujur,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, pada Rabu.

Beliau berkata menjadi satu kesalahan sekiranya sesuatu cubaan menawarkan rasuah itu tidak dilaporkan memandangkan ia merupakan sebahagian daripada ikrar yang telah dilafazkan.

“Rasuah sekarang bukan hanya bagi duit, rumah, kereta atau harta bahkan turut melibatkan takhta (kuasa) dan wanita. Kita kerajaan baharu harus berani buat perubahan, harus elakkan rasuah daripada jadi budaya kehidupan dan saya tidak nafikan dugaan sebagai pemimpin lagi besar.

“Saya harap saya dan rakan-rakan yang lain tidak diduga dengan ini (rasuah),” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata IBR dijangka diperluaskan ke semua Pihak Berkuasa Tempatan di negeri ini termasuk jabatan-jabatan kerajaan melalui kerjasama dengan SPRM Negeri Sembilan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsul Baharin Mohd Jamil berkata berdasarkan kaji selidik dibuat menerusi Kempen Anti Rasuah mendapati 82 peratus responden menyatakan gejala rasuah di negara ini berada pada tahap serius.

“Kaji selidik ini dilakukan dalam kalangan penjawat awam, pekerja swasta, pesara dan sebagainya. Mereka memberi hasil kaji selidik seperti ini. Hasil kaji selidik ini bermakna ia fakta, kita kena terima dan ambil langkah kurangkan perlakuan jenayah rasuah,” katanya.- BERNAMA