Malaysia Dateline

Laporan 100 hari pentadbiran PH hanya untuk PM, kata Hanipa

Kerajaan buat masa ini tidak bercadang mempamerkan keputusan laporan 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kepada umum.

Ini kerana laporan yang disediakan oleh Majlis Penasihat Kerajaan itu hanya dikhaskan untuk pengetahuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sahaja.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memaklumkan, laporan berkenaan mengandungi hasil siasatan dan rumusan akhir majlis tersebut setelah berlaku peralihan kuasa untuk tindakan pembetulan.

“Setakat ini segala yang mereka dapat termasuk input-input telah pun dilaporkan tetapi hanya kepada Perdana Menteri sahaja.

“Bagaimanapun, saya rasa dalam suasana Malaysia baharu ini mana-mana pihak boleh kemukakan cadangan laporan perlu dipamerkan kepada awam, namun keputusan akhir di tangan kerajaan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini, seperti dipetik Utusanonline.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusof yang meminta kerajaan menjelaskan pendirian berkenaan laporan 100 hari PH sama ada mahu didedahkan kepada umum atau tidak.