Laporan akhir 1MDB tangguh Febuari 2016

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Laporan akhir Ketua Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini akan hanya siap, pada Februari tahun depan.

Ahli PAC, Tony Pua, berkata punca kelewatan itu adalah kerana Ketua Audit Negara masih belum menerima beberapa dokumen tertentu.

“Kami diberitahu bahawa mereka (Jabatan Audit Negara) baru sahaja menerima beberapa dokumen tetapi masih belum mendapatkan dokumen lain yang dijanjikan kepada mereka,” katanya memetik laporan protal media pro pembangkang itu.

Bagaimanapun, katanya PAC tidak diberitahu apa dokumen yang masih hilang untuk melengkapkan laporan audit ke atas 1MDB itu.

“Kami dimaklumkan bahawa laporan itu akan siap, pada Februari,” katanya.

Beliau enggan mendedahkan jika Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang hadir pada pendengaran PAC hari ini, ada menjelaskan sebab ketidakupayaan syarikat milik kerajaan itu mengemukakan dokumen terbabit.

Sebelum ini, Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, berkata laporan akhir Ketua Audit Negara dijangka dibentangkan kepada PAC, semalam.

Katanya, terdapat beberapa individu lain dalam senarai PAC untuk dipanggil semula termasuk bekas Presiden 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Tan Sri Lodin dan Tan Sri Bakke Salleh akan datang jumpa PAC, pada 19 dan 20 Januari (2016) , dua pengerusi dan bekas pengerusi 1MDB ini akan dipanggil secara berasingan,” katanya.

Ditanya bila Shahrol akan dipanggil, Pua berkata, tarikh berkenaan belum ditetapkan lagi.

“Pengerusi (Datuk Hassan Ariffin) belum tetapkan, hanya dua nama sudah ditetapkan tarikh. Ahli PAC yang lain turut minta Shahrol dan bekas CEO Hazeem (Abdul Rahman) dipanggil lagi,” katanya.

TAGS