Malaysia Dateline

Laporan akhir MH370 Julai ini, kata Menteri Pengangkutan

Laporan akhir berhubung operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 2014 dijangka dikeluarkan Julai ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah diarahkan untuk menyiapkan segera laporan penuh pencarian itu untuk ditunjukkan kepada keluarga mangsa sebelum diterbitkan untuk tatapan umum.

Badan bebas itu membabitkan 19 wakil daripada tujuh pertubuhan siasatan kemalangan udara antarabangsa iaitu dari Australia, China, Perancis, Indonesia, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat, katanya.

“Semua data-data terkumpul daripada operasi termasuk siasatan polis itu akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada keluarga mangsa dalam satu taklimat khas sebelum didedahkan kepada umum.”

“Komitmen kita adalah untuk memberi akses penuh kepada semua orang melihat laporan yang terhasil selepas kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta dalam melakukan pencarian bermula Mac 2014,” katanya pada sidang media hari ini dipetik Bernama.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Semalam, syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity mengesahkan misi pencarian bangkai pesawat itu berakhir selepas menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 km persegi.

Misi pencarian oleh Ocean Infinity di selatan Lautan Hindi itu adalah berdasarkan terma ‘no cure, no fee,’ yang bermakna bayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

Mengulas lanjut, Loke berkata kerajaan sedia ‘melawat’ lokasi pencarian sekiranya pakar-pakar atau pihak tertentu dapat meyakinkan kerajaan terdapat petunjuk baharu selepas laporan akhir tersebut diterbitkan.