Malaysia Dateline

Laporan Al Jazeera mula disiasat

Polis memulakan siasatan berhubung laporan agensi berita asing Al Jazeera melalui dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang mengutuk layanan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika Malaysia melaksanakan langkah mengekang Covid-19.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menjalankan siasatan susulan laporan dibuat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

“Kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” dipetik Bernama.

Video yang disiarkan di saluran rasmi Youtube Al Jazeera English, 4 Julai lalu yang menuduh kerajaan bersifat rasis itu juga mengundang kemarahan rakyat Malaysia.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata, laporan Al-Jazeera yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap Pati itu sebagai tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan PDRM.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga semalam mahu agensi berita antarabangsa itu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta yang tidak tepat sama sekali.

Beliau menegaskan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat itu terpesong daripada keadaan sebenar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion.