Laporan Audit: Hasil kerajaan Persekutuan berjumlah RM232.883 bln pada tahun 2018

Laporan Audit: Hasil kerajaan Persekutuan berjumlah RM232.883 bln pada tahun 2018

Hasil Kerajaan Persekutuan pada 2018 berjumlah RM232.883 bilion manakala terimaan balik pinjaman serta pelbagai terimaan, sebanyak RM788 bilion.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2018 yang dikeluarkan hari ini, perbelanjaan mengurus sebanyak RM230.960 bilion dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM56.095 bilion.

“Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM53.385 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada paras 3.7 peratus. Defisit tersebut ditampung dengan pinjaman dari dalam dan luar negeri, berjumlah RM131.599 bilion,” menurut laporan itu.

Selain membiayai perbelanjaan pembangunan, pinjaman ini juga digunakan untuk membayar balik hutang sebanyak RM77.492 bilion.

Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2018 mencatatkan RM52.910 bilion, yang merupakan baki terkumpul daripada ketiga-tiga Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan yang dipegang dalam bentuk wang tunai berjumlah RM23.648 bilion dan pelaburan berjumlah RM29.262 bilion.

Analisis Audit mendapati bahawa Akaun Pinjaman Disatukan menunjukkan pengurangan yang ketara iaitu sejumlah RM18.258 bilion atau 54.5 peratus, manakala Akaun Amanah Disatukan menunjukkan peningkatan sejumlah RM28.984 bilion atau 916.9 peratus.

Akaun Hasil Disatukan pula tidak menunjukkan perbezaan kerana kesemua lebihan hasil dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan.

“Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan meningkat sebanyak RM10.726 bilion atau 25.4 peratus iaitu peningkatan daripada RM42.184 bilion pada akhir tahun 2017 kepada RM52.910 bilion pada akhir tahun 2018,” katanya.

Laporan itu menyebut kedudukan Kumpulan Wang Disatukan untuk tempoh lima tahun menunjukkan trend peningkatan kecuali bagi tahun 2016.

Kedudukan baki Kumpulan Wang Disatukan yang tertinggi dicatatkan pada 2018 disebabkan oleh peningkatan ketara dalam Akaun Amanah Disatukan daripada negatif RM3.161 bilion kepada RM25.823 bilion.

Sementara itu, penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2018 berkaitan dengan bayaran balik pinjaman yang dijamin kepada lima syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan berjumlah RM2.839 bilion, di mana jaminan kerajaan terhadap pinjaman yang diperoleh lima syarikat berjumlah RM76.075 bilion telah diluluskan sebelum tahun 2018 oleh pentadbiran terdahulu.

“Setakat 31 Disember 2018, pinjaman ini masih berbaki RM66.341 bilion yang akan matang sehingga tahun 2041 kecuali satu pinjaman berbaki RM94.38 juta yang akan tamat pada tahun 2019.

“Pada tahun 2018, Kerajaan telah mendahulukan sebahagian bayaran balik pinjaman yang dijamin dan matang berjumlah RM2.839 bilion bagi pihak syarikat berkenaan, di mana daripada jumlah tersebut, RM1.753 bilion telah dibayar oleh pentadbiran terdahulu manakala sejumlah RM1.086 bilion telah dibayar oleh pentadbiran semasa,” katanya.

— BERNAMA