Malaysia Dateline

Laporan Audit: PAC akan panggil 8 jabatan, kementerian

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil agensi berkaitan selepas Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan terdapat unsur ketirisan perbelanjaan kerajaan, pembaziran dan bayaran yang tidak wajar.

“PAC mengenal pasti beberapa isu yang melibatkan jabatan kerajaan yang akan dipanggil oleh jawatankuasa,” kata Pengerusi PAC Noraini Ahmad dalam satu sidang media di Parlimen  seperti dipetik FMT hari ini.

Noraini berkata, Jabatan Audit Negara mendapati terdapat 7 kes melibatkan pembayaran tidak wajar bernilai RM38.73 juta.

“Jabatan Audit Negara mendapati 5 kes kebocoran melibatkan RM1.764 bilion dan 6 kes yang dikategorikan sebagai pembaziran melibatkan RM26.47 juta,” katanya.

Beliau mendedahkan antara projek dan program yang akan dipertimbangkan PAC ialah Program Sosio-Ekonomi Program India Malaysia; pembayaran subsidi LPG oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam; sekatan pekerja asing di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia; Trauma dan Kecemasan di 4 hospital awam Lembah Klang di bawah Kementerian Kesihatan; pembinaan Sekolah Sukan Malaysia di Perlis dan Hub Pendidikan di Pagoh, Johor dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia .

Noraini berkata, ini disebabkan wujudnya kelemahan seperti pengurusan kontrak yang tidak teratur, hasil kerja yang tidak memenuhi standard kualiti dan juga kurang pemantauan.

Beliau berkata, langkah selanjutnya, PAC akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan jenis prosiding yang akan dijalankan berikutan taklimat umum oleh ketua audit.

“Jawatankuasa akan menetapkan tarikh untuk semua prosiding dan kami mendesak semua KSU (Ketua Setiusaha kementerian) hadir, dan mereka tidak boleh mengemukakan surat rasmi dan mengemukakan tarikh baru.”

Sementara itu, Ketua Audit Negara Nik Azman berkata perkara tersebut berlaku disebabkan ketidakpatuhan prosedur dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“Peraturannya ada tetapi mereka tidak diikuti,” katanya.

Beliau menekankan masalah dengan jabatan kecemasan dan trauma di 4 hospital di Lembah Klang yang tidak memuaskan dalam “tahap perkhidmatan” mereka.

“Walaupun tidak ada undang-undang yang dilanggar, saya rasa ini adalah satu perkhidmatan penting dan PAC harus memanggil kementerian untuk memberikan penjelasan.”

Beliau juga menyebut satu projek pembinaan sekolah sukan di Perlis yang mula dibina pada 2013 dan sepatutnya siap dalam tempoh 8 bulan.

“Tetapi sehingga kini belum selesai,” katanya seperti dipetik FMT hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mengenai pengurusan kewangan, aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan badan-badan berkanun persekutuan dan negeri, dibentangkan di Parlimen hari ini.

Nik Azman berkata di peringkat negeri, 83 kementerian, jabatan dan agensi mencapai tahap cemerlang, diikuti dengan baik (69), memuaskan (26), kurang memuaskan (13) dan tidak memuaskan.