Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, masih ramai pelabur asing melakukan urusan perdagangan di negara ini di samping sebahagian lagi menunjukkan minat untuk membuat pelaburan.

Menurutnya, kerajaan tidak akan bertindak terhadap laporan-laporan negatif sedemikian, sebaliknya akan menunjukkan keupayaan kepada pihak luar seperti yang sering dinasihatkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya tetapi kita berdepan dengan berita-berita negatif (tentang laporan ekonomi) setiap hari, kemungkinan langkah ini adalah agenda sesetengah pihak yang tidak mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi (pelaburan).

“Tetapi, dengan kecekapan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri, para pelabur semakin yakin untuk datang dan membuat pelaburan di negara ini,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Wisma Darulaman hari ini seperti dipetik utusanonline.

Darell mengulas laporan berita Bloomberg US yang melaporkan pelabur sudah hilang sabar dengan Malaysia dan ramai didakwa telah menarik diri atau tidak lagi mahu melabur dalam pasaran negara ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan, Kedah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM37.73 bilion pada tahun lalu dengan nilai eksport bernilai RM20.16 bilion.

Ujar Darell, eksport peralatan mesin dan pengangkutan, produk makanan serta pembuatan barangan telah menyumbang hampir 88 peratus daripada nilai eksport tersebut.

Katanya lagi, jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan di negeri itu pada tempoh sama pula merekodkan sebanyak RM2.4 juta.

 “Pelaburan itu melibatkan 41 projek dalam industri produk mineral bukan logam, kimia dan produk kimia serta barangan berasaskan plastik.

“Manakala, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 1,196 projek pelaburan yang bernilai RM52.55 bilion telah berjaya dilaksanakan yang kebanyakkannya melibatkan industri elektronik dan produk elektronik, peralatan pengangkutan, produk mineral, bukan logam dan produk kimia,” katanya.