Laporan Indeks Syariah 2015 meragukan, khuatir disalahguna – Dr Mujahid

Laporan Indeks Syariah 2015 meragukan, khuatir disalahguna – Dr Mujahid

Laporan Indeks Syariah 2015 yang memberikan skor Syariah Compliance 76 peratus kepada pentadbiran kerajaan Malaysia amat meragukan di saat pentadbiran negara menghadapi pelbagai skandal dan penghakisan kepercayaan awam.

Mengulas laporan Indeks Syariah 2015 yang dibentangkan semalam, Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa mempersoalkan kayu pengukur ‘maqasid’ yang digunakan jawatankasa terbabit dalam hal menjaga dan memelihara harta dan kewangan sedangkan berbagai salahlaku tatakelola kewangan telah membawa kesan buruk kepada negara.

“Ini tidak termasuk kes 1MDB, RM 2.6 bilion, ketirisan dan lain-lain salahguna kuasa. Apakah ini syariah compliance?” soal beliau.

Kategori yang diukur jawatankuasa Indeks Syariah merangkumi ekonomi, politik, sosial, kesihatan awam dan pendidikan. Ini adalah laporan pertama setelah Indeks Syariah diisytiharkan Feb tahun lalu.

Menurut Mujahid, Indeks Syariah yang diperolehi secara internal oleh jawatankuasa terbabit perlu disahkan di peringkat luar (external) yang bebas agar piawaian syariah dapat kekal pada aras yang tinggi dan tidak dipermudah-mudahkan.

“Saya khuatir isu ini dijadikan sebagai alasan untuk mengabui orang Melayu dan Islam khususnya lalu sanggup meletakkan nama baik syariah untuk tujuan tersebut.

“Saya menuntut jawatankuasa Indeks Syariah dan pengerusinya tampil secara telus bagaimana skor begitu tinggi dicapai sedangkan negara sedang mengalami krisis kepercayaan yang membimbangkan.

“Kes 1MDB dan RM2.6 bilion secara kayu pengukur maqasidnya telah gagal apabila ketelusan dan kepertanggungjawaban serta transaksinya gagal dilaporkan dengan telus,” tegas beliau.

Menurut ahli parlimen Parit Buntar itu, laporan Ketua Audit Negara tentang ketirisan yang kritikal dalam pentadbiran kerajaan sepatutnya diambil kira jawatankuasa.

Tambah beliau, kesan ketirisan ini kepada ekonomi, pembelaan rakyat, pelaburan dan sistem kewangan telah menjadikan kerajaan sekarang diragui kewibawaannya.

“Apakah ini bersesuaian dengan tujuan syariat dalam memelihara kepentingan harta awam?

“Semoga Indeks Syariah tidak disalahgunakan untuk menunjukkan kerajaan BN kononnya mengikuti garis panduan syariat sedangkan isu 1MDB dan RM2.6 bilion masih lagi menjadi misteri,” ujarnya.

TAGS